Anak Arwah Nik Aziz: Pas miliki KELEMAHAN, perlu baikinya elak negeri diambil alih kabarmalay3.blogspot.com


KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan perlu menyedari memiliki kelemahan dalam pentadbirannya, yang membuka peluang parti lain termasuk Parti Amanah Negara (PAN) mengambil alih negeri itu.
Tanpa mendedahkan kelemahan itu, anak bekas Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata PAS perlu memperbaiki kelemahannya segera bagi mengelakkan perkara itu berlaku.
"Kita mesti menerima realiti yang sebuah parti politik di negara ini tiada yang sempurna, termasuklah PAS yang diberi mandat untuk mentadbir Kelantan sekarang ini.
"Tidak dinafikan dari segi dasar, kepemimpinan sekarang ini sudah meneruskan legasi `Tok Guru', tetapi ada beberapa kelemahan yang hendak diperbetulkan oleh PAN dan rakan sekutunya," katanya kepada NSTP.
Beliau juga percaya kewujudan pakatan pembangkang bukan cuba menjatuhkan kerajaan Islam tetapi lebih kepada `ingin terbabit sama dalam pengurusan'.
"Pakatan pembangkang yakin mereka dapat memperbaiki segala kelemahan dan PAS sepatutnya mengambil serius isu ini jika mereka ingin diberi sekali lagi peluang untuk mentadbir negeri ini," katanya.
Nik Omar berkata, PAS atau mana-mana parti yang ingin meneruskan pentadbiran perlu menjaga perasaan rakyat supaya mereka akan terus memberi sokongan kepada parti itu.
"PAS perlu menerima segala cadangan dan pandangan yang diberikan oleh orang lain, termasuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor, Husam Musa kerana beliau mewakili PAN," katanya.
Ditanya sama ada pendekatan PAN akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih Kelantan daripada PAS, Nik Omar berkata, ia bergantung kepada penilaian rakyat.
"Kita perlu hormat segala mandat yang diberi rakyat untuk mentadbir sesebuah kerajaan," katanya.
Baru-baru ini, Nik Omar dilaporkan berkata, beliau tidak akan bertanding di bawah tiket PAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan tidak mendapat restu daripada ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak. - BH Online

Subscribe to receive free email updates: