SHAH ALAM: Polis tidak menjadi 'alat' kepada kerajaan untuk menekan pembangkang sepertimana yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan polis dijalankan berasaskan laporan yang dibuat.
"Beliau boleh cakap apa sahaja, itu hak dia. Tetapi sebagai penguatkuasa, bila ada laporan yang diterima, jika ada asas, kita (polis) akan siasat. Tidak kira siapa pun yang terlibat," katanya dipetik Berita Harian.
Dr Mahathir ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PPBM sabtu lalu, berjanji akan mengembalikan kebebasan bersuara dan undang-undang kembali dihormati, bukannya disalahgunakan untuk menekan rakyat.
Pada masa ini, dakwanya, polis menyiasat pihak yang membuat laporan terhadap dakwaan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukan terhadap apa yang dilaporkannya.
"Polis tidak lagi akan menyuruh orang tertentu dari parti kerajaan membuat laporan polis terhadap ucapan rakyat, pemimpin atau media sosial supaya hal yang tidak melanggar undang-undang dijadikan jenayah untuk polis menyiasatnya," katanya lagi.
Mengulas perkara itu, Fuzi berkata polis tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak membuat laporan seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menyiasat setiap laporan yang diterima.
"Itu adalah pendangan peribadinya, jadi susah saya nak cakap (ulas)...(Tetapi) kalau pihak dia (Mahathir) pun ada apa-apa nak buat laporan, kita terima," katanya lagi.
Bekas IGP Tan Sri Musa Hasan pula menyifatkan kenyataan Dr Mahathir sebagai dakwaan yang tidak adil kepada institusi yang menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Menurut Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata polis sentiasa bertindak profesional dalam menyiasat, sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.