Bekas peguam negara (AG), Tan Sri Abu Talib Othman sekali lagi berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bertanggungjawab dalam pemecatan ketua hakim negara ketika itu, Tun Salleh Abas
Pengesahannya dibuat susulan kenyataan Dr Mahathir semalam yang mengulangi bahawa beliau tidak bertanggungjawab terhadap pemecatan Salleh sehingga mengakibatkan krisis kehakiman pada tahun 1988.
"Seperti saya kata, tidak benar bahawa Mahathir memulakan penyingkiran itu atau mahu Salleh dipecat, beliau hanya mematuhi arahan Agong," kata Abu Talib dalam satu temu bual di Kuala Lumpur hari ini.
Walau bagaimanapun, Abu Talib menegaskan bahawa dirinya bukan mempertahankan Dr Mahathir dalam perkara itu.
"Saya tidak membela Mahathir, sebab itu saya kata, kamu mungkin tidak menyukainya, tetapi itulah fakta, saya tidak bermain politik tetapi berdasarkan fakta," katanya.
Isu itu, menurutnya, adalah "sejarah".
"Malangnya, sesetengah orang mempolitikkannya dan menjadikan ini sesuatu yang peribadi. Ini sudah diselesaikan pada tahun 1988 jadi kenapa membukanya semula."
Abu Talib membuat penjelasan itu susulan Dr Mahathir dalam kenyataannya semalam menyalahkannya kerana menggunakan nama bekas perdana menteri itu untuk memecat Salleh.
Namun, bekas peguam negara itu bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak menggunakan nama Mahathir kerana perdana menteri itu berperanan dalam penubuhan sebuah tribunal untuk meneliti kes berhubung dakwaan ke atas Salleh.
Memetik perlembagaan, Abu Talib berkata bahawa tribunal itu hanya boleh ditubuhkan atas perwakilan yang dibuat oleh perdana menteri.
"Adalah tidak benar saya menggunakan namanya tanpa pengetahuannya kerana saya terpaksa menggunakan nama dan pejabatnya untuk tujuan menubuhkan tribunal," katanya.
"Pejabat Peguam Negara - pejabat saya - menyediakan dokumen-dokumen. Komunikasi dengan istana itu ditangani oleh Jabatan Perdana Menteri." - MK