KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Dato' Mohd Shohaimi Jusoh, 55, meninggal dunia di rumahnya di Sungai Isap Damai awal pagi tadi.
Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata beliau dimaklumkan berita itu oleh pegawai Shohaimi kira-kira 3.55 pagi dan amat terkejut kerana mereka baharu berjumpa Jumaat lepas.
Katanya mereka bersama menghadiri program sumbangan Jom ke Sekolah oleh Yayasan Felda peringkat Parlimen Paya Besar dan Shohaimi tidak kelihatan sakit walaupun demam beberapa hari sebelumnya.
“Saya bertanya jika arwah sudah sihat dan beliau menjawab demamnya sudah kebah. Saya hanya tahu arwah ada penyakit kencing manis.
“Malam semalam juga ada kawan-kawan telefon beritahu arwah mengajak sesi mengeteh di warung berhampiran rumahnya, yang merupakan kebiasaan arwah pada waktu malam.
“Bagaimanapun tiba-tiba arwah batalkan hasrat itu dan beritahu tak apa, kita jumpa malam lain,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Manan berkata jenazah dibawa ke Masjid Sungai Isap pada 11.00 pagi tadi untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Fajar, Gambang sebelum solat Zohor. #sumber