Tiong Lai Tidak Gentar, Berdepan Cabaran Tiga Penjuru Di Bentong kabarmalay3.blogspot.com


BENTONG: Buat pertama kali sejak menjadi wakil rakyat kerusi Parlimen P089 Bentong pada 1999, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bakal berdepan persaingan tiga penjuru apabila Pas dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing membariskan calon-calon mereka bagi merebut kerusi tersebut.

Pas mencalonkan bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk N. Balasubramaniam manakala PKR mengembalikan aktivis alam sekitar, Wong Tack.

Pertembungan tiga penjuru ini dilihat sengit apabila Liow, yang sudah menjadi ahli parlimen Bentong selama empat penggal, menang tipis dengan majoriti 379 apabila dicabar Wong Tack buat kali pertama pada pilihan raya lalu.

Liow yang ditemui media selepas pencalonan berkata beliau dan seluruh warga kerja BN telah bekerja keras membawa pembangunan di Bentong.

“Pertama kali kita lihat semua kawasan di Parlimen Bentong ditandingi tiga penjuru dan satu, empat penjuru. Kita bersedia menghadapi cabaran ini.

“Ini memang satu cabaran dan kita perlu bekerja keras bagi mendapat sokongan masyarakat. Saya yakin ada banyak sokongan di peringkat akar umbi kerana kami telah bekerja keras di sini sejak lima tahun lalu,” katanya.

Liow bagaimanapun tidak menjawab persoalan sama ada beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA seandainya beliau kalah di kerusi Parlimen tersebut.

“Semangat dan kerjasama antara parti komponen BN begitu baik sekali dan saya yakin bahawa perkhidmatan yang telah kami berikan selama lima tahun akan membuahkan hasıl. Memang cabaran besar apabila ada tiga penjuru di setiap tempat,” katanya.

Penamaan calon di Bentong hari ini turut melihat keempat-empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentong iaitu N33 Bilut, N35 Sabai dan N36 Pelangai, masing-masing melibatkan pertembungan tiga penjuru diantara calon BN, PKR dan Pas.

Sementara itu, kerusi DUN N34 Sabai memperlihatkan pertembungan empat penjuru diantara calon BN, PKR, Pas dan seorang calon Bebas.

Calon-calon tersebut diumumkan tepat pada pukul 12:15 tengah hari berikutan insiden kekecohan dan salah faham yang berlaku melibatkan calon BN bagi kerusi DUN Ketari, Datuk Lau Hoi Keong dan alamat kad pengenalan beliau.

Pihak media difahamkan bahawa beliau telah menukar maklumat alamat di Pahang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun belum dikemaskini dalam kad pengenalan yang dibawa ke pusat pendaftaran.

Kekecohan tersebut yang berlangsung selama 30 minit menyaksikan calon-calon PKR mendakwa SPR berlaku tidak adil dan cuba menipu dalam proses pilihan raya. Mereka turut masing-masing mengeluarkan kad pengenalan sendiri untuk ditunjukkan kepada pihak media.

Pegawai pengurus pilihan raya parlimen Bentong Datuk Azhar Arshad kemudian memanggil mereka ke dalam dewan untuk perbincangan sebelum membuat pengumuman penamaan calon secara rasmi. #sumber

Subscribe to receive free email updates: