KUANTAN: MCA Pahang melakukan transformasi besar bagi menghadapi PRU14 kali ini dengan mengetengahkan beberapa calon muda dan berpotensi.
Pengerusinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti komponen itu telah diberi ruang mengetengahkan tiga calon di Parlimen dan lapan bagi DUN di negeri ini.
Jelasnya, MCA memberi peluang kepada barisan calon baharu dan muda kerana yakin dengan kemampuan yang mereka boleh berikan.
"10 calon yang dipilih merupakan muka baharu dan anak muda kecuali saya adalah calon lama di Parlimen Bentong.
"Kita yakin dengan kepimpinan orang muda dan mereka perlu diberikan peluang yang terbaik untuk diketengah menerajui parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah kepada Calon-calon BN Pahang bagi PRU14.
Pengumuman dilakukan, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, semua calon sudah bersedia sepenuhnya untuk memasuki gelanggang pemilihan.
"Kita harap mereka dapat kukuhkan parti dan bangunkan negeri ini serta kerajaan BN," katanya. #sumber