Mayat Dua Warga China Yang Lemas Di Sungai Kobat Telah Di Temui kabarmalay3.blogspot.com


KUANTAN: Mayat dua pekerja projek  Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) warga China yang lemas  selepas bot dinaiki  bersama dua rakan senegara dan seorang lelaki tempatan yang terbalik di Sungai Kobat dekat Kampung Padang di sini, petang semalam ditemui pagi tadi.

Mayat Chen Xi, 29 ditemui jam 9.33 pagi oleh pasukan penyelamat kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas manakala mangsa kedua, Ren Cheng, 29 ditemui jam 10.04 pagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul  berkata, mayat kedua-dua mangsa disahkan wakil syarikat dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang disambung jam 7 pagi tadi selepas dihentikan kira-kira jam 8 malam semalam melibatkan 18 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan 10 anggota polis.

“Difahamkan, empat pekerja warga China itu menaiki bot gentian kaca dipandu warga tempatan cuba menyeberangi sungai dan terbalik kira-kira jam 4 petang semalam.

“Ekoran kejadian, mangsa dilaporkan hilang (dikhuatiri lemas) manakala dua rakan mereka, Duan Feng, 27 dan Zhang Jian Zheng, 27  serta pemandu bot, Mohd Yusdi Mohd Yusof , 38 berjaya diselamatkan,"katanya.

Mohd Sani berkata, susulan maklumat kejadian petang semalam itu, pihaknya  ke lokasi dan tiba jam 4.30 petang sebelum memulakan gerakan mencari melalui kaedah pencarian di permukaaan menggunakan dua bot milik orang awam.

“Seterusnya, kita mengunakan bot  jabatan untuk meneruskan pencarian bagaimanapun usaha mengesan mangsa tidak berhasil petang semalam sebelum operasi ditangguhkan dan disambung semula hari ini.

“Pagi tadi operasi mencari melibatkan kawasan dalam radius 300 meter dari lokasi mangsa hilang dibantu anggota PPDA yang melakukan selaman sebelum mayat mangsa pertama ditemui,”katanya.

Katanya, operasi mengesan mangsa kedua diteruskan dan mayatnya berjaya ditemui kira-kira jam 10.04 pagi tidak jauh dari lokasi penemuan mayat pertama.

“Mayat mangsa dierahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi  operasi ditamatkan,”katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: