PASIR SALAK: Seorang lagi Ketua Cabang PKR menegur Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana didakwa mengkhianati kepercayaan akar umbi dalam soal pemilihan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila meletakkan calon nomad yang tidak pernah menabur khidmat bakti di sesuatu kawasan.
Ketua Cabang PKR Pasir Salak, Noor Azwan Ramli berkata, pemilihan tidak realistik, sangat tidak adil serta jauh menyimpang daripada semangat reformasi yang bukan sahaja akan merosakkan parti, malah memperlihatkan sikap Wan Azizah yang degil dan kemaruk kuasa.
Menurutnya, Wan Azizah jelas tidak memahami hasrat akar umbi, justeru tindakannya yang langsung tidak membuka ruang perbincangan di peringkat cabang amat salah khususnya kepada semua ahli parti yang telah bertungkus-lumus menaikkan nama PKR di merata tempat.
“Jika cabang-cabang PKR di seluruh Malaysia sudah tidak lagi bernilai di mata Presiden PKR dalam soal pemilihan calon, maka sewajarnya dibubarkan sahaja segala bentuk sistem organisasi yang telah diwujudkan.
“Tindakan Presiden PKR ini telah menghina setiap ahli parti di seluruh Malaysia. Politik murahan seperti ini tidak sepatutnya diamalkan oleh mana-mana kepemimpinan gabungan pembangkang PKR,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR Pasir Salak dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Azwan berkata, kelemahan dan keangkuhan kepemimpinan peringkat Pusat juga terserlah apabila langsung tidak mengkaji populariti calon dalam kalangan masyarakat setempat.
Sehubungan itu jelasnya, tindakan bersifat diktator oleh Wan Azizah dengan meletakkan nama-nama calon pilihannya sendiri menunjukkan seolah-olah demokrasi telah mati dalam PKR.
“Segala masa, tenaga dan wang ringgit yang saya berikan kepada parti ini seperti sia-sia sahaja. Apabila tiba masanya, segala yang dikorbankan serta sokongan oleh akar umbi telah ‘ditongsampahkan’ oleh pemimpin berhati batu.
“Sedarlah Datin Seri Presiden bahawa ini bukanlah cara politik yang telah diajarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kami. Presiden PKR telah mengkhianati aspirasi dan semangat reformis Penasihat PKR yang kami hormati,” katanya. #sumber