Rosmah: "Jentera" Wanita UMNO Perlu "Kuatkan Semangat", Kawal Emosi kabarmalay3.blogspot.com


PEKAN: Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO khususnya di kawasan Parlimen Pekan supaya mengawal emosi dan menguatkan semangat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata biarpun keletihan dan diuji pelbagai tohmahan oleh pihak pembangkang, jentera JR Wanita perlu terus kuat dan tidak menunjukkan kelemahan mereka di hadapan musuh.

"Perkara paling mustahak semangat kena kuat, emosi kena kawal kalau tidak kuat orang akan perkotak-katikkan kita. Nasihat Datuk Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) kepada saya, jangan sedih dan susah hati di hadapan orang. Itulah yang membuatkan semangat saya kuat sehingga kini.

"Kita sebagai wanita perlu tunjuk yang kita ini kuat. Jangan menangis di hadapan musuh kerana itu yang mereka mahu. Mereka mahu lihat kita menangis," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Petugas Jalinan Rakyat Wanita UMNO Parlimen Pekan di Universiti DRB-Hicom, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosmah berkata jentera JR Wanita bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara pemimpin kerajaan dan rakyat, malahan mereka berperanan penting menangkis segala dakyah dan tohmahan tidak berasas pihak pembangkang.

"Kita semua tahu pelbagai isu yang telah diputarbelitkan oleh pembangkang bertujuan melemahkan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ini, jadi, jentera JR berperanan penting memperjelaskan perkara sebenar kepada para pengundi supaya mereka tahu apa yang betul, apa yang salah" katanya.

Rosmah juga berkata beliau yakin bahawa jentera JR Pekan telah bersiap siaga, menyusun segala strategi dan melaksanakan pelbagai program demi memastikan kerusi Parlimen Pekan dan kerusi Dewan Undangan Negeri di bawahnya kekal milik BN.

"Saya berbangga dengan usaha para srikandi parti yang telah bertungkus lumus berjumpa dengan pengundi di setiap kawasan. Berkunjung dari rumah ke rumah untuk memastikan pengundi yang masih belum berdaftar dapat dikesan dan didaftarkan sebagai pemilih PRU14," katanya.

Beliau turut menyeru jentera JR Wanita Pekan supaya melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran 40,000 undi majoriti bagi Parlimen Pekan, berbanding 35,613 majoriti undi pada PRU13.

Majlis yang disertai hampir 3,000 anggota jentera JR Wanita Pekan turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Pahang Datuk Roslin Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan Datuk Zalmah Abdul Rahman. #sumber

Subscribe to receive free email updates: