Presiden Ikatan itu mengakui kekuatan PAS di negeri itu dan oleh itu akan tumpu membantu parti Islamis itu mempertahankan 27 tahun pemerintahan PAS di Kelantan.
“Kita beri ruang kepada PAS untuk bertanding di sana dan kita tidak pernah persoalkan,” kata Kadir.
“Ikatan tak pernah mengamuk kalau tak dapat kerusi. Kita tidak macam BN dan PH.”
Beliau diminta memberikan reaksi kepada Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata Gagasan Sejahtera (GS) tidak akan meletakkan calon Ikatan di mana-mana kerusi di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14.
PAS membentuk GS bersama-sama Ikatan dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), dengan disokong Parti Cinta Malaysia (PCM).
“Ikatan akan bantu PAS dan calon-calon GS nanti. Kita akan bergerak dan lawan habis-habisan untuk menangkan calon GS,” kata Kadir.
Bekas menteri UMNO itu menafikan Ikatan mangsa buli PAS sejak menyertai GS pada Mac 2016. Beliau berkata Ikatan ada ditawarkan kerusi di negeri-negeri lain.
Kadir berkata Ikatan mungkin akan meletakkan calon di kerusi-kerusi di luar Kelantan tetapi bukan untuk dirinya.
“Saya sendiri dah beritahu tidak akan bertanding,” kata Kadir.
“Tidak timbul soal kami dibuli PAS. Walaupun tidak ada kerusi, hubungan kami dengan PAS baik sepanjang masa dan sangat rapat,” tambahnya. #sumber