Perdana Menteri berkata siasatan melibatan banyak pihak seperti bank negara, polis dan Ketua Audit Negara, serta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang turut dianggotai oleh wakil-wakil rakyat pembangkang.
“Kita tanya beberapa perkara pokok dalam laporan itu. Pertama, adakah dalam laporan itu mana-mana ayat menyatakan saya curi duit 1MDB? Jawabnya tidak sama sekali.
“Kedua, sama ada laporan PAC menyatakan saya ada buat kesalahan? Jawapannya, tidak. Ketiga, adakah laporan tersebut mengatakan derma kerajaan Arab Saudi merupakan duit 1MDB? Jawapannya, tidak sama sekali.
“Laporan tersebut membuat kesimpulan, saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Najib berkata demikian di sesi forum sempena pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) malam tadi.
Rasionalisasi diteruskan
Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan akan meneruskan proses rasionalisasi termasuklah pembangunan tanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia di ibu negara, dan melalui projek itu kerajaan menjangkakan hutang 1MDB dapat diselesaikan.
“1MDB satu model perniagaan di mana suntikan modal cuma RM1 juta sahaja. 1MDB mempunyai program besar dan telah meminjam sejumlah RM42 bilion, bukannya RM42 bilion hilang.
“Kalau kadar faedah 5% maknanya lebih kurang RM2 bilion setahun sahaja faedah,” katanya.
Beliau berkata Bandar Malaysia, yang akan menjadi kawasan paling membangun dalam beberapa tahun lagi, akan menjana hasil yang akan digunakan untuk menyelesaikan hutang 1MDB.
Pada 31 Disember lepas, 1MDB dilaporkan selesai membuat semua pembayaran kepada dana kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co PJSC dalam satu urusjanji menyelesaikan pertikaian hutang MR4.9 bilion. Pada Mac tahun sama, 1MDB, yang menanggung hutang sehingga RM50 bilion setakat Januari 2016, dilaporkan sudah melangsaikan semua hutang bank dan hutang jangka masa pendek.
Media melaporkan wang untuk pembayaran itu diperolehi hasil program rasionalisasi yang antara lain melibatkan pertukaran hutang dengan aset dengan IPIC, penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp untuk RM9.83 bilion, pembangunan tanah Tun Razak Exchange dan pelupusan aset bukan teras. #sumber