Musykil: "Siapa" Pihak Yang Akan Tentukan "Berita Palsu" Atau Pun Benar? kabarmalay3.blogspot.com


Winston Smith, watak utama dalam novel ‘1984’ karya George Orwell, adalah seorang kakitangan awam. Beliau bekerja di ‘Ministry of Truth’. Kementerian Kebenaran.

Dalam novel terbabit, kementerian ini mempunyai tugas hakiki untuk menyebar propaganda. Tidak langsung ada kena mengena dengan ‘kebenaran’. Tetapi sesuai namanya, ia merekayasa apa yang dianggapnya kebenaran.

Winston, yang ternyata letih menjadi aparat pembohong kerajaan ‘Big Brother’ hanya mampu mengeluh. Beliau mengandaikan kalau-kalau kerajaan akan memutuskan bahawa dua campur dua, jawabnya lima.

Kalau semua orang percaya itu adalah benar, pastilah itu yang diterima sebagai kebenaran.

Kerja Winston, si pegawai kerajaan di ‘Kementerian Kebenaran’ ialah menulis semula laporan berita lama. Demikian supaya sejarah menggambarkan bahawa kerajaannya sentiasa benar, dan konsisten sepanjang masa.

Novel ‘1984’ adalah sebuah karya dystopian tulisan Orwell pada tahun 1949. Ia menggambarkan sebuah negara yang ditadbir seorang diktator dikenali sebagai ‘Big Brother’. Negara baru ini ditadbir dengan suatu aparat dinamakan ‘Thought Police’ yang kerjanya mengambil tindakan ke atas mereka yang berani berfikir.

Bertepatan dengan slogan pentadbirannya ‘Ignorance is strength’ – kejahilan adalah kekuatan; elagimana orang ramai kekal dungu dan tidak tahu, selagi itulah ‘Big Brother’ kekal berkuasa.

Bayangan Orwell tentang dunia gila 1984 ternyata terlewat 30 tahun lebih. Dari lidah Donald Trump yang membungkam saluran media yang melaporkan kenyataan-kenyataan rasminya yang kelakar dengan menuduh mereka sebagai berita palsu, penyakit yang sama sudah merebak ke Malaysia.

Rakan golf Trump, kebetulan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, nampaknya sedang gigih menggunakan konsep ‘berita palsu’ ini untuk menutup rakam jejaknya yang terpalit skandal berbilion ringgit.

Cuma minggu lalu ada menteri memberitahu kita bahawa apa sahaja laporan mengenai 1MDB yang tidak disahkan kerajaan adalah berita palsu.

Hari ini, kita digemparkan dengan pembentangan Rang Undang-undang Anti-berita Tidak Benar. Suatu undang-undang yang dibentangkan dengan tujuan jelas nyata untuk membungkam demikian banyak laporan media tentang skandal mega pengubahan wang haram peringkat antarabangsa membabitkan syarikat bermasalah milik negara, 1MDB dan bekas pengerusi lembaga pengarahnya, Najib Razak sendiri.

Apa yang jelas setakat ini ialah kerajaan merancang untuk mengancam saluran media dalam dan luar negara untuk ‘mengawal diri’ daripada melaporkan apa-apa yang tidak kena dengan selera United Malays National Organisation, presidennya, serta isteri presidennya.

Apa yang tidak jelas pula ialah persoalan siapa yang menentukan laporan apa yang palsu, dan laporan mana yang benar.

Adakah laporan Wall Street Journal yang menanti sudah berapa ratus hari Selasa untuk disaman itu turut dikira laporan palsu? Bagaimana pula dengan senarai 53 agensi berita antarabangsa yang turut melaporkan tentang skandal 1MDB serta penyitaan kapal mewah Equanimity di Bali tempoh hari? Adakah mereka juga telah melaporkan berita palsu? Siapa yang tentukan palsu atau benar laporan berita ini semua?

Adakah semua berita yang dilaporkan media asing hasil siasatan pihak berkuasa asing terhadap salah laku yang terjadi di luar negara juga semuanya harus dilabel palsu belaka kerana media Malaysia tidak dibenarkan atau enggan melaporkannya? Siapa yang tentukan jawapan kepada soalan ini?

Tinggal tak berapa hari sahaja lagi sebelum Parlimen dibubarkan, kerajaan ini sedang cuba meluluskan akta baharu ini dengan begitu tergesa-gesa. Bersekali dengan usahanya melukis semula sempadan pilihanraya, tidak lain tidak bukan, dalam usaha besar untuk kekal berkuasa.

Cumanya pasti akan jadi kelakar kalau nanti Barisan Nasional tewas dalam pilihanraya, undang-undang serupa akan dikenakan terhadap TV3 dan Utusan Malaysia. #sumber

Subscribe to receive free email updates: