PENGGUNA media sosial menyelar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kerana menggelarkan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai “musang berbulu ayam”.
Seorang pengguna Facebook MangoGina Wee mengingatkan Khairy yang rakyat kini mahu mengubah kerajaan dan masanya mentadbir negara mungkin bakal berakhir tidak lama lagi.
“Kebanyakan kami mahu mengubah kerajaan dan masa anda tak banyak lagi,” katanya.
Darren Ching pula menimbulkan persoalan apakah yang akan berlaku kepada pemimpin yang sedang berkuasa sekarang sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Jika masa arus perubahan tiba dan menolak Dr Mahathir kembali berkuasa, saya tertanya-tanya apa akan jadi kepada badut-badut ini,” katanya.
Ada juga yang menggelarkan Khairy penipu dan kurang ajar.
“Sukar untuk percayakan penipu seperti awak,” kata Nadya Chew.
Seorang pengguna dengan nama “Peace Maker” pula menulis yang Khairy tidak sedar dek untung kerana hanya mengingati kesilapan dibuat Dr Mahathir berbanding banyak lagi perkara baik yang dilakukannya kepada negara.
“Tak sedar diri! Awak hanya ingat kesilapannya? Sudah tentu ada. Tetapi bagaimana pula dengan kebaikan yang dia buat? Maksud awak dia tak buat apa-apa yang baik untuk negara ini?
“Terlebih dahulu, boleh beritahu rakyat berapa banyak awak dibayar guna wang 1MDB? Adakah awak dibayar untuk melindungi skandal terbesar pernah dilakukan kerajaan kleptokrasi? Jika benar, awak sama sahaja bersalah. Awak tak ada wibawa. Awak khianati kepercayaan negara.”
Awal hari ini, Khairy mengatakan pembangkang terpedaya apabila mempercayai Dr Mahathir sudah berubah.
Katanya, pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu tidak patut dijadikan perdana menteri sekali lagi kerana masalah yang dilanda Malaysia sekarang ini adalah akibat daripada pentadbirannya dahulu.
“Sekali dah jadi diktator, selamanya akan jadi diktator.
“Saya dah senaraikan semua kesalahan dan kelemahan sepanjang pentadbiran Dr Mahathir, ketika saya membuat ucapan dasar Pemuda Umno dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Umno.
“Rakyat Malaysia masih terpaksa menanggung beban yang diciptanya,” kata Khairy. – 24 Mac, 2018. TheMalaysianInsight