Pakatan Harapan (PH) malam tadi merasakan mereka perlu mengorbankan Mohamad Hasan dan menggantikannya dengan pemimpin PH.
Bagi mereka, rakyat di negeri itu secara keseluruhan memerlukan perubahan kuasa pada pilihan raya umum (PRU) yang bakal tiba tidak lama lagi.
Kebanyakan hadirin yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata risiko itu perlu diambil kerana merasakan Negeri Sembilan pimpinan Barisan Nasional (BN) itu seperti bersekongkol dengan kerajaan pentadbiran negara secara keseluruhan.
"Yang saya jumpa ramai nak ubah. Mereka bukan marah dengan MB. Tapi kita anggap dia bersekongkol. Itu saja," kata Azman Sifat.
Pesara berusia 51 tahun itu bersetuju dengan apa yang disampaikan pemimpin PH ketika ucapan mereka yang menyentuh isu Perdana Menteri Najib Razak dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Azman mengakui bukan mudah untuk berbuat demikian tetapi beliau percaya kebanyakan penduduk di situ mempunyai kesedaran dengan maklumat yang lebih diperoleh hari ini.
"Saya rasakan 50-50 (untuk PH dapatkan Negeri Sembilan). Tapi nak tak nak, kita mesti lakukan perubahan," katanya.
Terdahulu pada hari sama selepas Mesyuarat Pimpinan PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata negeri tersebut bakal menjadi negeri penting untuk PH menang di situ, selain mengekalkan negeri sedia ada iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Hanif Alim, 28, berpendapat menteri besar di negeri itu melakukan kerja dengan bagus.
Reputasi MB Negeri Sembilan bagus. Dia mesra rakyat tapi kesilapan dia ialah dia bersama Najib.
"Dia (MB) kena bersama dengan kita (PH). Dia rendah diri, mesra rakyat dan pentadbiran dia bagus berbanding sebelum ini," katanya.
Kazir Mohd Dali, 49, berkata tiada pilihan lain yang dapat dibuatnya melainkan menolak pentadbiran BN di situ dengan menukar menteri besar yang memimpin negeri itu selama tiga penggal.
"Bagi saya, kami tiada pilihan lain. Umno dan BN perlu disingkirkan, jadi kita perlu korbankan menteri besar walaupun dia pemimpin yang bagus.
"Macam malam ni, saya setuju dengan apa yang pemimpin PH sampaikan, GST beri kesan kepada kos sara hidup kita. Tapi isu itu tak sebesar macam curi duit rakyat atau ada kerajaan yang kleptokrat," katanya.
Peniaga berusia 49 tahun itu berkata, beliau mahukan negerinya itu dipimpin oleh PH seperti negeri terkaya, Selangor.
"Menteri besar sekarang ini memang pemimpin yang bagus tapi dia bersubahat dengan pencuri.
"Dia uruskan negeri ini dengan baik dan dia seorang yang bijak tapi dia sokong Najib," katanya.
Pada PRU13, DAP menang 11 kerusi sementara PKR 3 kerusi. Manakala di pihak BN, Umno menang 21 kerusi dan MIC 1. Bagaimanapun, bilangan kerusi Umno berkurangan selepas Adun Lenggeng Ishak Ismail meninggal dunia kerana serangan jantung Julai lalu.
Seorang lagi pesara, Mohamed Hassan, 71, berkata PRU14 ini perlu menampakkan perubahan di negeri itu supaya GST berjaya dihapuskan oleh PH, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.
"GST ni tak tengok orang kaya atau orang miskin. Tapi paling teruk kena orang miskin.
"Isu utama di sini GST kerana ia melibatkan semua rakyat termasuk juga peminta sedekah," katanya yang tidak puas hati dengan cukai yang dilaksanakan pada 1 April, 2015 itu.
Katanya, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun itu sepatutnya menjaga kesihatan dirinya, memandangkan beliau baru-baru ini menghadapi masalah kesihatan sehingga dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
"Kenapa orang 93 tahun nak turun? Dia patut jaga kesihatan dia. Tapi dia nak selamatkan negara dan bukan ada agenda nak jadikan anak dia PM," katanya yang berpendapat pengundi di situ sewajarnya mempunyai semangat yang sama seperti bekas perdana menteri itu.
Walaupun Dr Mahathir memberi ucapan yang hampir serupa dengan ucapan programnya sebelum ini, tetapi ribuan hadirin di situ terpesona dengan mesej hampir setengah jam oleh "bapa pemodenan Malaysia" itu.
Pengerusi Bersatu itu berkata Najib menggunakan pelbagai cara menghalang parti lawannya untuk menang pada PRU14.
Antaranya menukar senarai pengundi iaitu apabila terdapat 900 pengundi yang diragui dengan nama “Fatimah Ismail” dalam daftar pemilih, selain persempadanan semula yang mengasingkan pengundi kaum Melayu dan Cina.
"Kerana pendapat Najib yang orang Melayu ni bodoh, kalau beri RM200 dia akan undi Najib. Orang Cina katanya, lebih cerdik dan tak mudah disogok dengan wang sebab itu asingkan Melayu dan Cina," katanya.
Sebanyak 128 daripada 222 kawasan pilihan raya Parlimen akan dirombak dalam cadangan persempadanan semula yang akan terpakai selepas diluluskan oleh Parlimen.
Pengkritik mendakwa persempadanan semula itu akan memberi kelebihan pada BN, terutamanya di Selangor, negeri terkaya di Malaysia yang diperintah oleh pembangkang persekutuan sejak 2008.
Selain itu, beliau berkata pihak BN juga cuba menghalang parti pembangkang daripada menerima sumbangan wang yang diderma.
Katanya, jika diketahui, penyumbang itu akan diugut dengan perlu membayar cukai yang lebih.
"Tapi walaupun dengan tekanan penipuan ini dibuat oleh Najib, dia tak yakin boleh menang," katanya.
Katanya, PH yakin menang pada PRU kali ini biarpun dilanda pelbagai halangan termasuk isu pendaftaran dengan ROS.
Turut hadir malam tadi ialah Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. – 19 Mac, 2018, TheMalaysianInsight