KUANTAN: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud dilaporkan antara tokoh berwibawa untuk bertanding atas tiket UMNO Barisan Nasional di kerusi DUN N.12 Beserah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi.
Nama beliau tiba-tiba timbul di saat akhir susulan berlaku adengan "lobi-melobi" yang memungkinkan perpecahan undi "cah keting" kepada BN jika tidak ditangani dengan baik oleh kepimpinan parti itu.
Tambahan pula beliau kini adalah merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak-Anak Beserah di Kuala Lumpur dan Selangor (PKAB), dan bukan calang-calang calon dari segi latar belakang pendidikan dan kerjaya profesionalnya.
Bahkan, kehebatan beliau sekiranya menjadi calon UMNO BN di DUN Beserah bakal menyaingi latar belakang pendidikan calon PAS, Andansura Rabu. Ia pasti akan memberi tamparan hebat kepada parti lain di kerusi DUN itu sebenarnya.
Kerusi DUN Beserah sudah dua penggal jatuh ke tangan pembangkang. Pada PRU13 lalu, BN tewas dengan majoriti 3,987 undi. Calon mereka Dato' Mohd Hazmi Yusof mendapat 11,359 undi tewas ditangan calon PAS, Andasura Rabu yang mendapat 15,346 undi.
Sementara itu pada PRU12 pula, kerusi DUN Beserah juga dimenangi oleh PAS di mana calon mereka iaitu Syed Mohammed Syed Lonik menang dengan majoriti 1,541 undi. Beliau mendapat 10,728 undi mengalahkan penyandang ketika itu Datuk Faisal Abdullah yang hanya mendapat 9,187 undi.
Melihat kepada dua senario tersebut, maka BN harus memilih calon lain yang lebih berkredibiliti dan diterima oleh semua calon-calon yang tidak terpilih.
Jika tidak, harapan BN untuk merampas kembali kerusi DUN Beserah sukar untuk jadi kenyataan.
Soalnya, siapakah anak jati Beserah yang tiba-tiba muncul namanya ini dan kenapakah beliau dilihat sesuai serta layak menjadi calon BN di kerusi DUN Beserah?. Ikuti laporan seterusnya selepas ini. #PDO