KUALA LUMPUR: Kerajaan mengurangkan tempoh hukuman penjara maksimum 10 tahun kepada 6 tahun seperti dicadangkan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Akta Anti Berita Tidak Benar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan turut mengubah Fasal 4 di dalam RUU itu dengan menggantikan perkataan “knowingly” (dengan sengaja) kepada “maliciously” (berniat jahat).
Bagaimanapun katanya, denda maksimum yang dicadangkan kerajaan sebanyak RM500,000 dikekalkan.
“Ini menunjukkan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri amat prihatin dan sedia menerima segala pandangan dan cadangan bagi menjadikan rang undang-undang (RUU) ini sebagai RUU inklusif dan komprehensif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu mencadangkan pesalah dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun.
Jika kesalahan berterusan selepas sabitan terdahulu, denda selanjutnya ialah RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.
Akta itu turut membabitkan sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.
Individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukannya dilakukan rakyat Malaysia, tindakan juga boleh diambil mengikut akta itu. #sumber