Dalam forum Bicara Negara di Ipoh hari ini, Arul berkata, ini berdasarkan rekod 1MDB sendiri dan penyiasatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Saya mengesahkan 1MDB, berdasarkan rekod kami dan penyiasatan PAC, tidak pernah membayar walau satu sen pun kepada akaun peribadi perdana menteri,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Arul berkata demikian dalam sesi soal jawab forum berkenaan dakwaan perdana menteri menerima RM2.6 bilion wang berkait 1MDB ke dalam akaun peribadi.
Star Online memetik Arul berkata, 1MDB terus menjadi sasaran pembangkang kerana kehabisan modal untuk mengkritik kerajaan.
Beliau memuji kerajaan kerana memperbaiki keadaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.
“Isu 1MDB adalah isu lama tetapi pihak tidak bertanggungjawab terus menghebohkannya,” tambahnya.
Arul berkata, Najib terus dikaitkan dengan 1MDB kerana pernah memegang jawatan pengerusi lembaga penasihat.
“Kuasa beliau hanyalah sebagai penasihat, dan oleh sebab kedudukannya dalam lembaga itu, pembangkang mendakwa beliau bertanggungjawab” katanya, dan menambah Najib tidak memiliki kuasa eksekutif.
Arul berkata, rakyat tidak harus membuat spekulasi tentang saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DoJ) terhadap 1MDB yang difailkan pada 2016.
“Sehingga kini tidak ada apa-apa prosiding, pembelaan atau penghakiman (mengenai saman itu).”
“Baru-baru ini mereka turut meminta mahkamah menangguhkan kes itu selama 6 bulan lagi,” katanya.
Najib menafikan sebarang salah laku berhubung 1MDB dan pada 2016, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata wang sebanyak AS$681 dalam akaun beliau adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Minggu lepas, 1MDB berkata ia tidak boleh menuntut 104 juta francs Swiss (RM430 juta) yang sedang dipertimbangkan oleh Parlimen Switzerland untuk dipulangkan kepada pemilik berhak kerana wang itu bukan milik syarikat atau kerajaan Malaysia.
“1MDB sebelum ini menyatakan dan mengulangi ia tidak kehilangan wang dan semua wangnya diambil kira sepenuhnya,” katanya kenyataan.
Ia menambah RM430 juta itu daripada denda yang dikenakan ke atas bank-bank tertentu oleh pihak berkuasa kawal selia kewangan Switzerland dan oleh itu milik bank-bank berkenaan.
Parlimen Switzerland menolak usul meminda undang-undang berhubung keuntungan bank yang diperoleh secara salah yang dirampas oleh pihak berkuasa dengan tujuan mengembalikan wang yang dikaitkan dengan 1MDB kepada Malaysia.
Pada 28 Februari lepas, polis Indonesia menyita sebuah kapal mewah, Equanimity, di Bali atas permintaan pihak berkuasa AS yang menyiasat dakwaan pengubahan wang melibatkan dana negara Malaysia.
Kapal layar itu ditahan ditengah-tengah siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dilancarkan oleh DoJ dan dikaitkan dengan 1MDB.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata kerajaan akan bertindak terhadap media asing yang menyiarkan “berita palsu” mengenai 1MDB.
Jailani berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa organisasi berita yang “cuba menghidupkan semula” isu 1MDB berikutan penyitaan kapal tersebut.
Antara media itu ialah The Wall Street Journal (WSJ), The New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation dan MSNBC, katanya. #sumber