Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Dato’ Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, kejatuhan Malaysia dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa oleh Transperancy International daripada tangga 55 ke 62 tahun lalu jelas menunjukkan agensi pencegah rasuah Malaysia lemah.
“Bagi membolehkan tindakan mereka itu berkredibiliti, maka agensi pencegah rasuah perlu bertindak bebas tanpa rasa takut dan menyebelahi mana-mana pihak.
“Mereka perlu diketuai individu yang berintegriti tinggi dan bebas daripada pengaruh perdana menteri serta badan eksekutif kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, tugas dan tindakan berkredibiliti oleh agensi pencegah rasuah juga tidak seharusnya berlandaskan agenda politik.
“Oleh itu, Malaysia perlu dibebaskan daripada rasuah, maka ia berhak untuk mempunyai agensi yang bebas bagi merealisasikan agenda ini.
“Kerana kegagalan mematuhi standard integriti menyebabkan timbulnya krisis keyakinan dan menjejaskan persepsi rasuah.
“Selaku kerajaan yang dipilih atas tiket anti rasuah, maka Kerajaan PAKATAN Selangor mengalu-alukan sebarang usaha bagi memerangi rasuah,” katanya.
Pada masa sama, Shao Loong berkata, Kerajaan Negeri tidak terbabit sebagai pembeli atau penjual berkaitan penahanan enam individu oleh SPRM berhubung transaksi tanah antara swasta dengan swasta di Ijok, semalam.
“Bercanggah dengan laporan palsu kerana Kerajaan Negeri tidak menyerahkan hak milik tanah di kawasan berkenaan yang dimenangi, di mahkamah,” katanya. #sumber