Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamaluddin Kassim berkata Mazlan, 52, ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
"Tangkapan (Mazlan) dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan dan akan diserahkan kepada pihak Polis Unit Siasatan Khas Bukit Aman," katanya menerusi kenyataan, di sini, Khamis.
Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan pada tengah hari Khamis memberitahu penahanan Mazlan itu dipercayai bersangkut paut dengan laporan polis dibuat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi peguamnya, Noor Hajran Mohd Noor di IPD Sentul, Kuala Lumpur, Isnin lepas.
Laporan polis itu dibuat Rosmah susulan sebuah video yang dimuat naik dalam YouTube bertajuk 'Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon yg Lingkup'.
Video itu, menurut peguam Rosmah, telah menjejaskan reputasi dan integriti anak guamnya kerana secara terang-terangan menuduh Rosmah terbabit dalam projek penternakan ikan Sturgeon. #sumber