Beliau berkata ia selaras dengan kelulusan daripada ROS dengan merujuk kepada Seksyen 13 A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat.
Menjawab dakwaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa ROS bersifat pilih kasih dalam isu tersebut, beliau berkata kelulusan penangguhan pemilihan parti sehingga 18 bulan itu adalah berdasarkan kepada struktur dan syarat-syarat yang dikehendaki selepas mengadakan mesyuarat parti dari peringkat cawangan hingga ke majlis tertinggi.
"Masalahnya PPBM ini sebenarnya mereka mesyuarat cawangan pun tiada. Kita mempunyai struktur dan ikut apa yang dikehendaki oleh ROS...jadi jangan salahkan ROS bila parti mereka susah mendapat kelulusan pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Menurut laporan media, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendakwa keputusan ROS meluluskan penangguhan pemilihan parti UMNO jelas bercanggah dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO. #sumber