Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad hairan bagaimana menteri komunikasi dan multimedia itu tahu identiti pemilik “Equanimity”, yang disita di tengah-tengah siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat ke atas dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
“Saya hendak surat dari dia…hendak tahu siapa pemilik kapal itu. Cakap bolehlah, cuba tunjuk. Kalau dia tunjuk bukti, baru saya percaya dia,” katanya pada sidang media di satu majlis kenduri dan doa selamat di Kampung Baru hari ini.
Dr Mahathir juga mempertikaikan mengapa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilaporkan media sebagai berkata pihaknya tidak akan menuntut kapal itu kerana bukan milik kerajaan.
“Dia tahu dari mana? Dia pergi ke periksa kapal itu? Setiap kapal mesti ada sijil pemilikan termasuk lain-lain dokumen, termasuk di mana ia dibeli, dari siapa ia dibeli…tunjukkan dokumen kepada saya,” katanya.
Polis Indonesia pada Rabu menyita kapal mewah “Equanimity” di Bali yang dicari Jabatan Kehakiman AS (DOJ). Kapal itu dirampas atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) meminta bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah, kata jurucakap polis Indonesia, Muhammad Iqbal Abduh.
Menurut maklumat yang diberikan FBI, Iqbah berkata sistem pengenalan automatik kapal itu ditutup beberapa kali di perairan sekitar Filipina dan Singapura.
Pada Ogos 2017, DOJ meminta saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri dari 1DMB ditangguhkan kerana sedang menjalankan satu siasatan jenayah berkaitan.
Antara aset yang dicari ialah kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli Jho Low, yang dinamakan sebagai watak utama dalam tindakan undang-undang AS itu. DOJ berkata Jho Low menggunakan hasil kutipan daripada 1MDB untuk membeli “Equanimity”, sebuah kapal mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
Salleh semalam membidas pembangkang kerana menggunakan isu perampasan itu untuk mengelirukan rakyat dengan “berita palsu”.
Menteri itu berkata pembangkang menggunakan “dakwaan tidak disahkan dan terbukti” yang kapal mewah itu milik Jho Low dan dibeli dengan dana daripada 1MDB.
Menurut Salleh, hakikatnya ialah dakwaan yang terkandung dalam tindakan undang-undang DOJ itu digantung sejak Ogos dan DOJ tidak menunjukkan bukti Jho Low pemilik kapal itu atau kapal itu dibeli dengan wang daripada 1MDB.
Menteri itu mengingatkan bahawa DOJ belum membuktikan dakwaan-dakwaan itu di mahkamah.
1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura.
Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ sejak 2 tahun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku. #sumber