Persatuan Pengusaha Kem Khidmat Negara (PPKN) bersedia bertemu NGO Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) berhubung dakwaan bahawa program Latihan Khidmat Negara (PLKN) umpama 'kem percutian'.
Presiden PPKN Datuk Seri Ahmad Kamil Ibrahim berkata, kenyataan NGO pesara tentera itu mengenai program PLKN seperti yang disiarkan Malaysiakini adalah tidak tepat.
Sebaliknya beliau berkata program PLKN 2.0 telah melalui era transformasi apabila Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengadakan Makmal Transformasi PLKN pada tahun 2015 bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan berhubung transformasi yang ingin dilaksanakan terhadap PLKN.
"PPKN amat menyokong usaha kerajaan dalam menambahbaik program ini dan melihat transformasi yang dilaksanakan ini memberi nafas baru ke atas PLKN."Oleh itu, PPKN bersedia untuk mengadakan perjumpaan bersama antara PATRIOT dan JLKN bagi menjelaskan mengenai PLKN 2.0," kata nya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sementara itu turut mengalu-alukan cadangan dan penambahbaikan daripada PATRIOT bagi meningkatkan lagi keberkesanan program ini.
Pada 14 Februari lalu anggota PATRIOT, Mejar (B) Ismail Jr Feisol dalam sidang media di pejabat NGO itu berkata kem PLKN dikendalikan 'seperti kem percutian' oleh jurulatih yang dipersoalkan semangat cintakan negaranya.
Susulan itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas kenyataan itu dan mempersoalkan motif kumpulan veteran berkenaan mengkritik PLKN.
Hishammuddin dilapor berkata semua kumpulan diberi ruang untuk menyuarakan cadangan sebelum ini.
“Mengapa baru sekarang mereka timbulkan isu ini? Mereka mahu cadangkan program apa untuk menyemai patriotisme dalam kalangan belia?” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Perkasa Perwira pada 15 Februari lalu.- MK