Curi Di "Pasaraya", Suri Rumah Di Penjara Lima Hari, Denda RM1,000 ! kabarmalay3.blogspot.com


PETALING JAYA: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 5 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini bagi kesalahan mencuri pelbagai barang antaranya 35 pasang pakaian kanak-kanak bernilai lebih RM1,200 di Pasaraya Tesco, hujung tahun lalu.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Aishah Abdullah, 29, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri barang-barang itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Disember lalu dan penjara sebulan lagi, jika denda gagal dibayar.
Sebelum menjatuhi hukuman, Nurshahira menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dan berharap agar hukuman itu dijadikan sebagai pengajaran.

“Saya harap awak menyesal atas perbuatan awak, awak sebagai ibu sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan bekerja dan mencari rezeki yang halal,” kata Nurshahirah kepada tertuduh yang sesekali mengelap air mata ketika majistret menasihatinya.

Aishah mengaku salah terhadap pertuduhan mencuri 35 pasang baju dan seluar kanak-kanak pelbagai jenama, 2 buah beg sekolah dan 2 botol minuman milik Pasaraya Tesco Puchong yang bernilai keseluruhan RM1,244.50 pada 2.30 petang, 13 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Akta itu juga memperuntukkan hukuman bagi kesalahan ke-2 atau seterusnya hendaklah diseksa dengan penjara dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan jenayah sebegitu.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon anak guamnya diberikan hukuman ringan atas alasan wanita itu mempunyai 4 orang anak berusia antara 4 hingga 12 tahun dan ketika kejadian, tertuduh berada dalam keadaan tertekan. #sumber

Subscribe to receive free email updates: