PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkata beliau lebih selesa tinggal di rumahnya sendiri di Taman Duta berbanding kediaman rasmi kerajaan di Seri Perdana yang lebih besar.
Berucap di mesyuarat agung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), isteri Perdana Menteri itu memetik perbualannya dengan Ketua Setiausaha Tan Sri Ali Hamsa.
“Tan Sri tanya saya, saya datang dari mana, saya kata saya datang dari rumah Taman Duta, Kuala Lumpur. Walaupun rumah di Seri Perdana sebelah bangunan ini, kalau saya duduk di sini 2 minit sampailah.
“Sebab saya duduk di Kuala Lumpur 30 minit baru sampai. Saya jarang-jarang duduk di sini Tan Sri, sebab ia bukan seperti rumah sendiri. Rumah ini besar tapi saya selesa duduk di rumah saya sendiri di Taman Duta.”
Seri Perdana dibina ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, di kemuncak kegawatan ekonomi 1997.
Ia menjadi antara bahan kempen pada pilihan raya umum 1999, setahun selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet yang mencetuskan gerakan reformasi. Pembangkang ketika itu mempersoalkan kos pembinaannya yang dikatakan mencecah sehingga RM200 juta.
Kompleks tersebut dibina di atas tapak seluas 42.5 ekar, dan merupakan antara mercutanda pusat pentadbiran itu.
Rosmah berkata beliau lebih senang tinggal di rumahnya sendiri kerana tidak mahu “berpindah randah”.
“Kita perempuan banyak barang nak dibawa,” katanya.
Dalam ucapannya, Rosmah berkata kedudukan dan pencapaian wanita Malaysia di tahap lebih baik berbanding negara lain.
“Kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan perihatin dengan isu yang berkaitan wanita dan tidak sesekali mengabaikan kaum wanita dalam merangka dasar-dasar pembagunannya,” katanya.
Ia merupakan kali kedua bulan ini Rosmah mengajak wanita untuk menyokong gabungan politik diketuai suaminya,
Minggu lalu, Rosmah ketika berucap di sebuah majlis anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau Felcra, menyeru peneroka wanita supaya menolak “dakyah pembangkang”.
“Kalau mereka cakap bukan-bukan, kita tutup telinga. Kalau mereka cakap dekat kawan kita, kita suruh mereka tutup telinga. Percayalah kepada kebolahan BN untuk memerintah negara bersama-sama,” katanya. #sumber