Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah bersedia untuk bertanding di bawah satu lambang, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau keputusan itu diambil pada mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya hari ini.
Kata Dr Mahahir pendirian berkenaan diambil ketika Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih membisu mengenai status gabungan berkenaan.
"Ini adalah keputusan kami, iaitu semua parti (dalam HARAPAN) akan bertanding menggunakan satu logo.
"Sama ada permohonan pendaftaran kami diluluskan atau sebaliknya, kami akan menggunakan satu logo sebagai identiti pada pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
Langkah untuk mendaftarkan HARAPAN bermula sejak 24 Julai 2017 apabila mereka menghantar draf perlembagaan kepada ROS secara dalam talian.
Kata Dr Mahathir proses menggunakan perkhidmatan dalam talian itu dibuat atas persetujuan dan kehendak ROS sendiri.
Empat hari kemudian HARAPAN dinasihat supaya membuat ubah suai pada logo mereka bagi menampakkan nama penuh gabungan berkenaan.
Pada 30 Jan lalu Dr Mahathir memberitahu ROS masih tidak memberikan sebarang kata putus mengenai status pendaftaran HARAPAN dan mendakwa ia disengajakan untuk mengganggu persediaan gabungan terbabit menghadapi PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.
Akhirnya pada 21 Feb lalu Malaysiakini melaporkan HARAPAN memulakan proses perundangan bagi menyaman ROS kerana agensi terbabit didakwa gagal memberi maklum balas terhadap permohonan mereka untuk didaftarkan secara rasmi.
Kata Dr Mahathir semua parti bersetuju menggunakan lambang sama namun keputusan belum dibuat mengenai logo apa yang terpilih bagi mewakili calon-calon HARAPAN.
Pada masa sama kata beliau HARAPAN akan meneruskan proses perundangan ke atas ROS dan ia akan didengar di mahkamah pada Khamis ini. -MK