KUANTAN: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin masyarakat Orang Asli di negara ini akan terus menyokong kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti walaupun terdapat anasir yang cuba menyemaikan kebencian terhadap kerajaan.
Ismail Sabri hal itu jelas dapat dibuktikan dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh masyarakat berkenaan setiap kali program dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN).
"Kita dapat maklumat ada segelintir badan bukan kerajaan masuk ke perkampungan Orang Asli dan racun pemikiran mereka dengan memburuk-burukkan kerajaan, namun nampaknya tidak memberi kesan."
"Malah kita dapati sokongan masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan semakin kukuh kerana mereka tahu hanya kerajaan BN yang selama ini banyak membantu menjaga kebajikan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL Zon Timur di Bukit Gambang di sini hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya kerajaan mempunyai pelan jangka masa panjang untuk memajukan lagi masyarakat Orang Asli di negara ini termasuk memastikan semua perkampungan Orang Asli mempunyai infrastruktur asas yang lengkap menjelang 2023.
"Sasaran ini adalah bagi memastikan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli ditingkatkan di samping menyediakan akses lebih baik kepada anak mereka melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi," katanya.
Katanya kejayaan program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk Orang Asli termasuk dalam bidang pendidikan dapat dibuktikan apabila empat siswazah anak Orang Asli telah memiliki Doktor Falsafah (PhD) dan enam lagi bakal melengkapkan pengajian tidak lama lagi.
Selain itu, katanya setiap tahun kerajaan turut menetapkan sejumlah 15 siswazah Orang Asli ditawarkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara.
Ismail Sabri berkata langkah itu merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi dan sosial golongan muda masyarakat Orang Asli, membolehkan mereka kembali menyumbang bagi mengubah corak dan kehidupan kaum mereka. #sumber