Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Datuk Yaacob Md Sam berkata dapatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor secara meluas serta terkandung dalam domain awam yang tidak boleh sama sekali dipertikai.
Katanya, mahkamah berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta atau undang-udang dalam menunaikan budi bicara mengenakan injunksi terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee atas alasan pembelaan tidak boleh berjaya dengan wujudnya bukti terutama tentang keputusan peguam negara.
“Oleh itu, memang sewajarnyalah dakwaan bahawa dapatan itu bersifat jahat juga tidak harus dilayan sebagai suatu pandangan serius,” kata beliau sambil menjelaskan fakta yang diberi pengiktirafan kehakiman itu wujud dalam rayuan Najib.
Beliau berkata apabila sesuatu fakta diberi pengiktirafan kehakiman oleh mahkamah, tiada bukti perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.
Yaacob antara anggota panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 14 Februari dan membuat keputusan tentang rayuan Pua terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah Najib terhadapnya.
Panel hakim menolak rayuan Pua dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kepada Najib injunksi sementara dua belah pihak terhadap Pua berhubung 1 klip video fitnah berkaitan pembentangan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
Yaacob berkata Seksyen 56 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu jendela perundangan, yang melaluinya, mahkamah boleh membuat keputusan untuk menerima pengiktirafan kehakiman tentang sesuatu fakta atau perkara, yang mana tiada pembuktian selanjutnya perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.
Yaacob juga berkata keputusan peguam negara terletak dalam rangka kerja Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Najib melunaskan syarat yang diwajibkan ke atasnya untuk diberi injunksi sementara terhadap Pua sementara menunggu keputusan kes saman fitnah.
“Kami bersetuju sepenuhnya dengan hujah peguam yang arif bagi pihak plaintif bahawa keseluruhan isu 1MDB telah diteliti dan disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dilantik Parlimen,” kata Yaacob.
Beliau berkata siasatan juga dilakukan SPRM, polis, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC bahawa Najib tidak melakukan kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.
Yaacob berkata dakwaan Pua tentang kewujudan pakatan sulit antara Najib, Barisan Nasional (BN) dan PAS berkaitan RUU355 andaian semata-mata dan terletak sepenuhnya pada kuasa mutlak dan budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan atau menolak sesuatu rang undang-undang.
Kata hakim itu, setelah meneliti pembelaan diri Pua, jelas didapati beliau bukan pembuat dokumen berkenaan dan dokumen itu merupakan keterangan dengar cakap yang tidak terdapat dalam pengetahuan peribadi Pua.
Najib menyaman Pua atas kedudukan peribadi dengan mendakwa Pua membuat kenyataan fitnah terhadapnya dalam video berkaitan pembentangan RUU355.
Perdana menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejennya di Facebook sepanjang 2 minit 21 saat bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill” boleh diakses secara meluas dan percuma melalui Internet.
Pada 21 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib bagi mendapatkan injunksi sebelah pihak untuk menghalang Pua daripada terus menyiarkan perkataan yang sama atau serupa dan pada 4 Ogos tahun lepas.
Perdana menteri juga diberi injunksi sementara dua belah pihak oleh Mahkamah Tinggi. #sumber