SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akur dengan arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk tidak menggunakan nama Armada bagi sayap pemudanya.
Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, arahan telah dikeluarkan kepada pimpinan dan ahli di setiap peringkat agar menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga pindaan perlembagaan parti diluluskan RoS.
“Oleh kerana pindaan perlembagaan PPBM (BERSATU) masih dalam pertimbangan pihak ROS, PPBM akur bahawa nama Pemuda PPBM yang termaktub dalam perlembagaan parti hendaklah digunapakai buat masa ini," katanya dalam satu kenyataan.
RoS pada 9 November lalu memberi amaran bahawa parti itu boleh diharamkan jika terus menggunakan nama Armada untuk pergerakan pemudanya.
Armada adalah singkatan kepada perkataan Angkatan Bersatu Anak Muda.
Menurut ROS, istilah Armada untuk jawatankuasa Pemuda PPBM tidak pernah diluluskan dalam perlembagaan parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Dalam pada itu, jelas Shahruddin, pemilihan nama Armada adalah bertujuan untuk menarik golongan muda.
ADUN Jorak itu juga menjelaskan telah memberikan penjelasan kepada RoS berhubung beberapa aduan terhadap parti.
“Saya sendiri telah hadir ke ibu pejabat ROS di Putrajaya pada 14 November 2017 untuk memberi keterangan kepada pegawai ROS dalam membantu siasatan berhubung aduan-aduan ini.
“Saya juga telah mendapatkan nasihat pakar undang-undang mengenai aduan-aduan tersebut dan percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang telah dibuat oleh PPBM dalam perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa pihak," katanya.
Sementara itu, Shahruddin juga berkata mereka telah memohon lanjutan masa ke tahun depan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan memandangkan PPBM masih dalam proses menubuhkan cawangan di seluruh negara.
Penangguhan itu, katanya, telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 26 Julai lalu.