Kevin Morais: Tukang jahit dipenjara beri keterangan palsu kabarmalay3.blogspot.com

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit yang merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah, tahun lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki, menjatuhkan hukuman itu terhadap S .Yogeswari, 38, yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 dalam perbicaraan kes bunuh itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Namirah Hanum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan turut mengarahkan Yogeswary yang merupakan seorang ibu tunggal membayar kos pendakwaan berjumlah RM1,500.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam J.Jayarubbiny yang mewakili wanita itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dengan menaikkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM13,000.

Tertuduh juga diperintahkan supaya memfailkan notis rayuan sebelum 30 Nov.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dalam perbicaraan kes itu.

Yogeswari, didapati bersalah memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) yang dia (tertuduh) mengetahui keterangannya adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 Sept 2016 mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.

Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 Sept 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam, pada tarikh-tarikh tersebut.

Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Inspektor M.Vasu pada 27 Sept 2015, iaitu kenderaan tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh-tarikh berkenaan.

Terdahulu, Jayarubbiny merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan wanita itu mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun yang masih memerlukan kasih sayang dan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa RayaMohammad Izzat Fauzan memohon tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Tindakan tertuduh yang memberi keterangan palsu dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu telah menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan untuk menggunakan keterangan-keterangan sedia ada untuk menyokong kes itu. Tindakannya juga seolah-olah cuba melindungi tertuduh dalam kes pembunuhan itu.

“Ia adalah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal tanpa terpengaruh dengan isu sentimental tertuduh,” katanya.–Bernama

Subscribe to receive free email updates: