Puncak Niaga mahu bayaran lebih tinggi, dakwa Khalid kabarmalay3.blogspot.com

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Puncak Niaga Holdings Bhd mahu bayaran yang lebih tinggi berbanding apa yang telah diberikan dalam pengambilalihan syarikat konsesi itu.
 
Itu respon Khalid ketika diajukan saman Puncak Niaga semalam terhadap dirinya yang bernilai RM14 bilion.
 
Selain Khalid, syarikat konsesi itu turut menyaman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri.
 
Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang mengakui dirinya tidak bimbang dengan saman berkenaan.
 
"Tidak, saya tidak (takut).
 
“Itu hak dia untuk saman, tapi saya jalankan tugas untuk kebaikan rakyat Selangor. Jadi maknanya dia nak harga lebih sajalah,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
 
Puncak Niaga mendakwa dalam proses pengambilalihan itu, Azmin selaku Menteri Besar kini dan Khalid sebagai bekas menteri besar telah menyalahgunakan kuasa mereka, dengan memaksa kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air.
 
Syarikat konsesi air itu juga menerusi kenyataan dalam Bursa Malaysia semalam mendakwa kerajaan negeri 'bertanggungjawab di atas tindakan Khalid dan Azmin'.
 
Menerusi saman itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
 
Bercakap lebih lanjut, Khalid berkata dirinya telah berlaku adil terhadap pihak berkepentingan dalam penstrukturan semula industri air di Selangor.
 
Khalid juga respon terhadap kemungkinan Puncak Niaga tidak berpuas hati dengan harga yang diberikan.
 
"Dari sudut pandangan saya, saya bayar mereka lebih daripada harga patut.
 
"(Namun) Semua orang tidak akan gembira apabila mereka tidak mendapatkan apa yang mereka hajati," ujarnya.
 
Khalid bagaimanapun enggan mengulas jumlah tuntutan RM14 bilion yang dikemukakan Puncak Niaga, sehingga dirinya melihat dokumen mahkamah.
 
Pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 28 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
 
Khalid sewaktu memimpin Selangor menawarkan pengambilalihan ekuiti dan liabiliti keempat-empat syarikat konsesi, iaitu Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH), SYABAS dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) sebanyak RM9.65 bilion.
 
Sebelum Khalid dipecat, beliau berjaya mengambil alih tiga syarikat daripadanya kecuali SPLASH yang dikatakan tidak bersetuju dengan nilai yang ditawarkan bekas menteri besar itu.
 
Pada 12 September 2014, Khalid membuat tawaran terakhir dengan meletakkan RM 250.6 juta untuk mengambil alih ekuiti SPLASH.  
 
Namun Azmin mendakwa Khalid menyembunyikan nilai tawaran sebenar berjumlah RM2.975 bilion yang dibuatnya kepada SPLASH. 
 
Khalid bagaimanapun menepis tuduhan Azmin dengan berkata, tawaran berjumlah RM2.975 bilion kepada SPLASH itu adalah tawaran pada 25 Jun 2009, dan ia merangkumi ekuiti berjumlah RM1.579 bilion dan liabiliti RM1.396 bilion.
 
 

Subscribe to receive free email updates: