JERTIH: Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan penduduk Pulau Perhentian di sini, cemas apabila pulau itu dilanda banjir kilat, pagi tadi.
Air yang naik sejak jam 11 pagi tadi menyebabkan kediaman penduduk dan beberapa laluan dinaiki air sehingga hampir satu meter.
Namun, tiada penduduk dipindahkan setakat ini, kerana keadaan masih terkawal dan air mulai surut selepas kira-kira sejam dan hujan berhenti.
Bagaimanapun, jam 2 petang tadi kawasan perkampungan itu mula dilanda banjir kilat semula akibat hujan lebat, malah paras air lebih tinggi sehingga ada kediaman dinaiki air sehingga lebih satu meter.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad, berkata belum ada penduduk dipindahkan ketika ini dan kira-kira 1,000 penduduk di pulau itu dinasihatkan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.
"Walaupun air naik di kampung ini, keadaan masih terkawal dan penduduk masih berada di rumah masing-masing kerana hujan tidak menentu. Jika keadaan semakin buruk kita akan minta penduduk berpindah.
"Penduduk dinasihatkan tidak panik, tetapi memastikan keselamatan keluarga terutama anak kecil," katanya seperti yang dilaporkan BH Online.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan kenaikan paras air yang melepasi paras normal di beberapa stesen di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, dan Kemaman.