Husam tiada 'locus standi', PAS dapat kebenaran pemilik tanah Wisma Tok Guru kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Permohonan injunksi Datuk Husam Musa ditolak kerana beliau tiada 'locus standi' dalam soal status pemilikan tanah di Wisma Tok Guru, kata Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini yang menolak permohonan injunksi dikemukakan ADUN Salor itu terhadap pemilik baru tanah di Wisma Tok Guru.
 
Ujar Che Abdullah, dengan keputusan tersebut, Husam tiada hak untuk menghalang program PAS di tanah berkenaan tambahan pula ia mendapat kebenaran pemiliknya.
 
"PAS dapat kebenaran secara bertulis dan mulut daripada tuan tanah. Tuan tanah untuk kita menggunakan harta ataupun tanah beliau. Untuk digunakan oleh PAS. 
 
"Adapun injunksi yang dibuat oleh Datuk Husam itu, mahkamah telah pun menolak injunksi tersebut atas alasan beliau tidak ada 'locus standi'. 'Locus standi', orang lain tuan tanah tiba-tiba dia nak menghalang.
 
"Kita yakin daripada awal. Oleh kerana tidak ada hak untuk beliau untuk menghalang sekumpulan orang ramai untuk mengadakan solat hajat. Tuan tanah yang beli tanah, maka dia jemput orang sembahyang hajat tiba-tiba ada pihak yang menghalang. Jadi ini satu suasana yang agak pelik," ujarnya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan bagi menghalang PAS menggunakan tanah Wisma Tok Guru.
 
Penolakan injunksi itu bermakna PAS boleh menjalankan aktivitinya di atas tanah wisma berkenaan.
 
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache berkata keputusan itu setelah mahkamah mengambil kira hujahan kedua-dua pihak dan memberi pertimbangan wajar.
 
"Mahkamah membuat keputusan ini dengan mengambil kira fakta paling penting iaitu defendan (Mohd Yasin Yusoff) adalah pemilik tanah yang sah melalui Kanun Tanah Negara 1965.
 
"Malah, permohonan ini juga dianggap tidak kukuh kerana plaintif hanya menuntut pampasan terhadap Wisma Tok Guru, bukannya hak pemilikan bangunan terbabit," demikian kata Ahmad dalam penghakimannya.
 
Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Bharu ketika diminta mengulas mengenai perbicaraan mahkamah bersabit status quo pemilikan bangunan berkenaan yang bakal bermula 4 Disember ini, melahirkan keyakinannya bahawa kemenangan akan berpihak kepada PAS.
 
"Kita akan berterusan maknanya menggunakan peguam-peguam kita untuk mempertahankan hak kita. Kita yakin itu memang hak kita. Kita yakin dengan kebijaksanaan hakim mahkamah yang akan memberikan keputusan yang akan memihak kepada kita.
 
"Lebih-lebih lagi dengan keputusan yang diterima hari ini yang menjelaskan bahawa Datuk Husam tidak ada lokus standi untuk menghalang pemilik daripada melaksanakan haknya ke atas pemilikan tersebut," tambahnya.
 
Isu perebutan tanah itu tercetus susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff dengan harga RM700,000.
 
Tanah itu menempatkan pejabat Ahmad Rosli sebagai ADUN Salor (pada ketika itu) dan kemudiannya diserahkan kepada Husam sebagai ADUN baru pada 2008.
 
Husam sebelum ini mendakwa beliau diberi keizinan oleh Ahmad Rosli untuk membina bangunan tambahan baru di tanah tersebut.
 
Husam kemudian menamakan bangunan berkenaan sebagai Wisma Tok Guru sebagai memperingati bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Bagaimanapun krisis dalaman menyaksikan ADUN Salor itu dipecat PAS pada Mei tahun lalu. 


Subscribe to receive free email updates: