Hartawan Robert Kuok percaya bahawa walaupun kaum Cina umumnya membantu membangunkan Asia Tenggara, terdapat di kalangan 'mereka yang jahat' telah merosakkan bahagian rantau ini.
Usahawan yang berpangkalan di Hong Kong itu mengatakan bahawa perkara itu disebabkan kepimpinan yang lemah dan kurangnya institusi-institusi pengawasan yang kuat.
"Orang Cina yang baik telah membantu membina Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina serta menjadikan negara-negara ini seperti yang ada hari ini.
"Tetapi ada juga Cina jahat dan tidak berhati perut, yang pada akhirnya telah menghancurkan banyak bahagian Asia Tenggara.
"Kenapa orang-orang ini dibenarkan memusnahkannya? Ini kerana kepimpinan yang lemah," kata Kuok dalam petikan memoirnya yang disiar di South China Morning Post (SCMP) hari ini.
Kuok berkata beliau pernah memberikan amaran mengenai "penjahat Cina" dan keperluan menubuhkan institusi pengawasan yang kuat di Jakarta semasa presiden Suharto.
Menurut Kuok, beliau pada mulanya memohon Jakarta menggunakan kepakaran usahawan Cina untuk membangunkan ekonomi Indonesia.
Bagaimanapun, beliau berkata sesetengah usahawan Cina ini boleh menjadi "penjahat yang sangat besar" dan oleh itu penting bagi kerajaan memiliki badan pengawasan yang kuat.
"Apa yang saya katakan ialah dalam ekonomi laissez-faire, anda mesti benarkan perniagaan berkembang dengan bebas, tapi pada masa yang sama anda mesti mempunyai badan pemantauan yang sangat terlatih dan berdisplin.
"Di mana terdapat penyelewengan dan jenayah yang dilakukan, anda mesti turun dengan cepat dan memberikan hukuman yang keras kepada penjahat ini.
"Anda harus menunjukkan contoh kepada mereka supaya orang Cina yang jujur akan membantu negara anda dan orang-orang yang tidak jujur dihalang," katanya di Jakarta ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari berbagai negara Asia Tenggara.
Namun Kuok berkata nasihatnya tidak diendahkan, bukan hanya di Indonesia tetapi juga di kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.
Sebagai perbandingan, beliau berkata Singapura bagaimanapun dapat menangani perkara itu di bawah pentadbiran bekas perdana menterinya, Lee Kuan Yew.
"Dengan unsur-unsur tidak baik dapat dikawal, lihat apa yang telah dicapai oleh Singapura dengan memanfaatkan tenaga orang Cina di seberang laut," kata Kuok. - MK