Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PKR Pulau Pinang menafikan kenyataan ADUN Penanti, Norlela Ariffin yang memberitahu dirinya berkemungkinan 'disingkirkan' selepas namanya tidak berada dalam senarai calon parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman berkata apa yang menghairankan bagaimana Norlela boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan parti masih belum memuktamadkan senarai calon di peringkat negeri.
"Bagaimana dia tahu? Kita tak tunjuk kepada siapa-siapa pun senarai (calon).
"Kita tak 'finalize' lagi senarai calon, dan kita tak pernah bincang dengan ADUN-ADUN kita," katanya kepada Antarapos.
Semalam Norlela yang dipetik Malaysiakini berkata, dirinya mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Penanti yang disandangnya sejak PRU13 yang lalu itu.
Wakil rakyat PKR itu berkata ini berikutan namanya tidak berada dalam senarai yang dicalonkan oleh parti.
Kenyataan itu sekaligus menimbulkan spekulasi beliau digugurkan berikutan kritikan lantangnya terhadap beberapa isu di negeri pimpinan Lim Guan Eng itu.
Bagaimanapun ujar Norlela, beliau kemungkinan dipindahkan ke kerusi lain di luar Pulau Pinang.
Laporan portal itu menyebut, difahamkan Norlela berkemungkinan besar akan bertanding di Kajang, Selangor, yang kini dipegang oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menafikan desas-desus bahawa Norlela tidak disenaraikan sebagai bakal calon PRU14 berikutan sikap lantangnya menegur kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Takkan dia lantang kita nak buang dia? Lagi lah kita nak simpan," katanya.
Ditanya sama ada PKR akan terus mengekalkan Norlela di DUN Penanti, Mansor bagaimanapun berkata setiap orang mempunyai peluang untuk bertanding di kerusi tersebut, termasuk pemimpin wanita itu sendiri.
Norlela memenangi kerusi Penanti pada PRU13 ketika menggantikan Mansor sendiri yang bertanding kerusi Parlimen Nibong Tebal.
Beliau agak lantang dalam memperjuangkan isu berkaitan penduduk kawasan yang diwakilinya.
Beliau juga kebelakangan ini dilihat agak terbuka mengeluarkan kenyataan yang disifatkan 'bertentangan' dengan pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang.
Antaranya, beliau mengucapkan 'terima kasih' selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah kilang di Sungai Lembu, yang beroperasi secara haram sehingga menimbulkan masalah kepada alam sekitar,