DAP belum hantar laporan terbaru CEC - RoS kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan pihaknya belum lagi menerima laporan terbaru berkenaan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang selesai pemilihannya Ahad lalu.
 
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim di sidang media RoS di ibu pejabatnya, petang tadi.
 
“Saya belum menerima apa-apa laporan daripada DAP,” katanya ringkas.
 
DAP pada 12 November lalu mengadakan pemilihan kali ketiga selepas RoS enggan mengiktiraf CEC parti itu yang diadakan pada 2012 dan 2013.
 
Untuk rekod pada pemilihan CEC tahun 2012, berlaku kesilapan dalam cetakan 'spreadsheet' yang menyebabkan parti itu diancam untuk tidak dibenarkan menggunakan simbol roket dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
 
RoS kemudiannya mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC, dan parti itu akur dengan gesaan itu dengan mengadakan proses itu sekali lagi pada 29 September 2013.
 
Selepas empat tahun, RoS sekali lagi memberi notis pada 7 Julai lalu yang meminta DAP mengadakan pemilihan CEC atas alasan keputusan pemilihan ahli dan pemegang utama jawatan DAP pada 29 September 2013 itu tidak sah.
 
Bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
 
Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf RoS. 
 
Permohonan PH sedang diproses
 
Sementara itu Surayati dalam sidang media yang sama memberitahu RoS masih memproses pendaftaran Pakatan Harapan (PH).
 
“PH belum ada lagi (pengesahan pendaftaran),” ujarnya.
 
Untuk rekod PH memohon kepada RoS untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik pada 28 Julai lalu.
 
RoS menolak permohonan itu dan meminta PH membuat beberapa perubahan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan. 
 
PH juga menghantar beberapa logo baru yang menepati kehendak RoS namun gabungan pembangkang itu sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.
 
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa memberitahu pihaknya mahu mengunjungi Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan penjelasan mengapa pendaftaran gabungan pembangkang itu masih tertangguh.
 
 

Subscribe to receive free email updates: