Memali tiada kena mengena dengan Amanat Hadi - pengikut Ibrahim Libya kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
BALING: Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan peristiwa Memali berpunca daripada amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibidas salah seorang mangsa tragedi berdarah itu. 
 
Datuk Yusuf Hussin, 63, yang merupakan sahabat kepada Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, iaitu guru agama yang terbunuh sewaktu tragedi itu menegaskan 'Amanat Hadi' langsung tidak ada kena mengena dengan peristiwa Memali.   
 
"Lihat dalam Facebook, masya-Allah, saya mampu beristigfar, kerana orang sanggup mengata. 
 
"Ini tidak ada kena mengena langsung dengan fatwa Haji Hadi, tak ada kena mengena fatwa itu dengan peristiwa Memali ini. Peristiwa Memali hanya disebabkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos di kediamannya di Kampung Memali, kira-kira 20km daripada pekan Baling.
 
Tegas bekas senator itu, Ibrahim seorang guru agama yang lantang menentang ISA, satu akta yang membolehkan seseorang ditahan tanpa melalui perbicaraan di mana pada pendapatnya bercanggah dengan ajaran Islam.
 
Yusuf sendiri merupakan salah seorang penduduk Kampung Memali yang ditahan di bawah ISA susulan tragedi itu.
 
Yusuf menjalani tahanan selama kira-kira lapan bulan termasuk enam bulan di Kem Kamunting, Taiping.
 
"Kejadian sebenarnya adalah seorang ulama mempertahankan dirinya daripada dizalimi di bawah akta ISA. Dia mengorbankan dirinya. Janganlah menghina dia.
 
"Saya yakin kalau digali kembali, mayatnya tetap tak berubah kerana dia syahid mempertahankan dirinya. Kepada masyarakat, dapatkanlah maklumat yang sebenar," kata Yusuf yang dikenali sebagai Pakcop oleh penduduk tempatan. 
 
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendakwa tindakan Hadi mengeluarkan amanat menjadi punca kepada tercetusnya peristiwa Memali.
 
Ujar Dr Mahathir, Ibrahim Libya dan pengikutnya terlalu taksub dengan 'Amanat Hadi', merujuk kepada ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981, sehingga menyebabkan mereka terkorban ketika pasukan keselamatan melancarkan operasi menangkap guru agama itu pada 19 November 1985.    
 
Tragedi itu mengorbankan 18 nyawa termasuk Ibrahim dan empat anggota polis, selain ramai yang tercedera serta menyaksikan penahanan sebilangan penduduk kampung.   
 
Hadi beberapa hari lalu pula mendakwa, peristiwa Memali yang tercetus 32 tahun lalu berlaku kerana salah laku terhadap Islam oleh pemimpin negara pada masa itu.
 
Ujar Hadi, Ibrahim merupakan lulusan pengajian tinggi dan seorang tokoh agama yang 'tidak bersedia menjadi syaitan bisu' apabila Islam dihina dan dipersenda.
 
Justeru ujar Hadi, PAS bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika cadangan penubuhannya menjadi kenyataan. 
 
Kerajaan Dr Mahathir buat kesilapan besar
 
Dalam pada itu seorang lagi pengikut Ibrahim, Yusop Che Mit mendakwa kerajaan yang ditadbir Dr Mahathir ketika itu melakukan kesilapan besar akibat mendapat maklumat yang salah daripada pihak yang tidak menyenangi guru agama itu.
 
Ujarnya, tindakan pihak berkenaan 'mencucuk' kerajaan adalah semata-mata demi menyekat pengaruh Ibrahim yang pada ketika itu mula mendapat tempat dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat setempat.      
 
 "Mereka (kerajaan) silap banyak. Kesilapan pertama ialah SB (cawangan khas) Baling ini banyak dengar SB upahan di kampung yang latar belakangnya cukup jahat.
 
"Saya tak mahu sebutkan nama-nama mereka tapi ada yang masih hidup dan ada yang telah mati. Mereka dengar laporan mengatakan Ustaz Ibrahim seperti itu, seperti ini.
 
"Itu yang sampai mereka hantar sehingga 3,600 orang polis," katanya.
 
Yusop yang berusia 26 tahun ketika itu hanya mengetahui mengenai tragedi itu selepas dimaklumkan rakan kerana sedang menuntut di sebuah sekolah pondok di Kelantan.    
 
Anak jati Kampung Memali itu kini berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Islahiah Diniah, sebuah madrasah yang diasaskan Ibrahim. 
 
Yusop juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan di peringkat Memali secara bersama dengan waris dan mangsa tragedi itu, demi mendesak kerajaan membongkar kembali kes berkenaan agar keadilan dapat ditegakkan. 
     
"Saya teringat pesanan as-syahid (Ustaz Ibrahim) yang mengatakan bahawa orang yang ditindas, orang yang dizalimi, orang yang mati syahid, sebenarnya tidak mati.
 
"Ini jelas dalam Al-Quran. Walaupun kita tak boleh lihat jasadnya, tapi cerita-cerita itu akan hidup sepanjang zaman. Walaupun sudah 32 tahun, ada masa hilang sekejap dan kini timbul balik, saya amat menyokong pihak PAS Pusat, negeri, kawasan dan yang terlibat supaya kes ini dibongkar semula untuk mencari satu keadilan," ujarnya lagi

Subscribe to receive free email updates: