Bendera Berterabur: Tindakan TATATERTIB, GANTUNG TUGAS mungkin diambil Jabatan Penyiaran kabarmalay3.blogspot.com


Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim tidak menolak kemungkinan individu yang bertanggungjawab di atas kesilapan ‘bendera bertabur’ pada paparan pungutan pingat Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang disiarkan di saluran TV2, bakal berdepan dengan tindakan digantung tugas.

Beliau ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun berkata, tindakan tatatertib itu bergantung sejauh mana berat dan serius kesalahan yang dilakukan.

Katanya, siasatan dalaman berhubung insiden sedang dijalankan oleh satu jawatankuasa.

“Tindakan tatatertib akan dibuat mengikut peraturan kerajaan,” katanya.

Ditanya kemungkinan petugas bakal berdepan dengan tindakan digantung tugas, Abu Bakar berkata: “Ya, mungkin.”

Abu Bakar berkata, individu yang terlibat berhubung penyiaran kesilapan itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Buat masa ini siasatan sedang dijalankan dan akan ambil tindakan berdasarkan hasil siasatan.

“Sekarang ni kita sedang menumpukan Sukan SEA, jadi hasil siasatan akan dibuat selepas itu,”katanya tanpa mengulas lanjut mengenai butiran individu yang dipanggil memberi keterangan.

Minggu lalu, tular mengenai bendera beberapa negara yang menyertai KL2017 bertukar antara satu sama lain dalam paparan pungutan pingat yang dimenangi atlet, semasa siaran langsung berita Tamil di saluran TV2 pada pukul 7.30 malam Khamis.

Lapan bendera daripada 11 negara yang bertukar itu membabitkan Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Jumaat lalu, mStar Online melaporkan Abu Bakar mengakui kesilapan yang berlaku dan permohonan maaf telah dibuat pada segmen berita di saluran TV yang sama pada Jumaat.

Ia disusuli permohonan maaf menerusi siaran Berita Nasional di saluran TV1 pada tengah malam hari yang sama.

Menurut Abu Bakar, kesilapan tersebut berpunca pada peringkat produksi iaitu semasa memberikan maklumat terkini dengan keputusan pungutan pingat yang sentiasa berubah-ubah. - mStar

Subscribe to receive free email updates: