'Sampai bila penyokong kena hadap benda ni?' kabarmalay3.blogspot.com


SUKAN SEA | Bukan merajuk tetapi sekadar tindakan yang diharap dapat membuka mata peminat bola sepak, kata kumpulan Ultras Malaya hari ini.

Menjelang penentuan juara mutlak Sukan SEA (KL2017) malam ini kumpulan sorak yang setia dengan skuad kebangsaan itu nyata kecewa apabila isu tiket untuk orang awam gagal ditangani dengan baik.

Melalui hantaran kumpulan itu di Facebook mereka berkata kelemahan sistem pengagihan dan penjualan tiket memang selalu berlaku, terutama di peringkat separuh akhir dan akhir.
"Sampai bila kita selaku penyokong nak kena hadap benda ini?

"Yang Berhormat sana sini sibuk dengan tiket percuma setiap kali semi final dan final atau perlawanan besar; orang berjawatan, berpangkat dengan mudah mendapat akses kepada tiket dan sebagainya, sedangkan kita selaku penyokong diperlakukan sedemikian rupa, walhal kita adalah antara nadi kepada sukan ini.

"Sekarang sudah 2017 tetapi perkara ini masih berlaku, setiap kali dalam bolasepak Malaysia baik di liga Malaysia atau perlawanan antarabangsa," kata kumpulan itu.

Semalam ribuan orang kecewa kerana gagal mendapat tiket selepas berbaris berjam-jam.

Kekecewaan itu semakin memuncak selepas beberapa keping gambar tular menunjukkan berikat-ikat tiket disimpan di tempat berasingan dipercayai untuk diserahkan kepada orang kenamaan.

Perlawanan akhir bola sepak KL2017 akan mempertemukan Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam jam 8.45 malam ini. Stadium itu mampu memuatkan kira-kira 80,300 penonton.

Kata Ultras Malaya pihak yang mempunyai kuasa untuk mengubah sistem itu harus sedar bahawa sesuatu mesti dilakukan.

"Jika tidak ianya akan mendatangkan kerugian terhadap pasukan itu sendiri," katanya.

Sokong sepenuh hati

Sebagai tanda solidariti dengan penyokong yang kecewa kumpulan itu juga mengumumkan untuk tidak membina "curva" di dalam stadium seperti yang selalu mereka lalukan.

Istilah itu merujuk kepada kesepakatan penyokong yang berkumpul beramai-ramai di kawasan hujung stadium. Kedudukan tempat duduk yang melengkung itu kemudian mencetuskan nama "curva". Lazimnya tempat duduk di situ dijual pada harga paling murah.

Namun kumpulan itu menyatakan langkah berkenaan bukanlah tanda mereka merajuk atau kebudak-budakan, sebaliknya menyatakan bantahan terhadap kelemahan yang ada.

"Kepada golongan intelektual yang mengatakan Ultras Malaya kebudak-budakkan dan sebagainya, kami harap anda sebagai orang dewasa, matang dan berintelektual, sokonglah Malaysia dengan sepenuh hati, dan gunakanlah kemahiran intelektual anda untuk memahami isu ini.

"Kepada yang tak faham, buat-buat tak faham, lantak koranglah," katanya.

Subscribe to receive free email updates: