Gabungan itu turut menyangkal keraguan rakyat Sabah terhadap pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew sebagai pengerusi PH negeri itu, yang akan dibantu Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong dan rakan sejawatannya dari Amanah, Hamzah Abdullah sebagai timbalan pengerusi.
Pelantikan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden PH pada 28 Ogos, menurut Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah di ibu pejabat PKR hari ini.
Sementara itu, Saifuddin menyangkal keraguan rakyat Sabah terhadap PH dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusinya.
“Orang Sabah harus ingat matlamat utama sekarang adalah untuk menggantikan kerajaan semasa dan kesilapan lalu dapat dimaafkan,” katanya.
“Orang Sabah seperti rakyat Malaysia yang lain di mana-mana sahaja, mereka pandai menilai dan praktikal. Isu utama sekarang adalah untuk menggulingkan kerajaan.
“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail boleh duduk bersama Dr Mahathir setiap bulan, itu sudah cukup untuk menunjukkan kita telah memaafkan kesilapan lalu atas sebab-sebab strategik,” katanya.
Dr Mahathir dilihat oleh sesetengah rakyat Sabah sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah dalam “Projek IC” di negeri itu.
Saifuddin juga berkata pelbagai pihak berkepentingan akan terlibat dalam usaha memuktamadkan manifesto PH di Sabah untuk pilihan raya akan datang.
“Pelbagai pemegang kepentingan termasuk sayap Pemuda dan Wanita akan terlibat untuk memuktamadkan manifesto kita untuk Sabah,” katanya.
“Jawatankuasa manifesto PH hari ini dipanggil untuk membincangkan perkara berkaitan manifesto Sabah.
“Semua isu yang berkait dengan rakyat Sabah seperti pendidikan, kesihatan dan banyak lagi dibincangkan dalam mesyuarat berterusan sebelum kita menyusun dan melancarkannya tidak lama lagi.”