Saya Gesa Anwar Teliti Semula - Azmin kabarmalay3.blogspot.com


 KENYATAAN MEDIA
29 DISEMBER 2018

Saya menggesa YB Presiden supaya meneliti semula perlantikan jawatan utama kepimpinan parti. Pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.
<
Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.

Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran. Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

Begitu juga pelantikan MPP yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

Justeru, saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada YB Presiden yang telah sedia maklum dengan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih. Pendirian ini telah dimaklumkan kepada YB Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa YB Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif.

Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam KEADILAN menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota KEADILAN.

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
#CelahGelegar 

Subscribe to receive free email updates: