#Lencun50 :Yuran TASKA naik tahun 2019 #KencingSampaiLencun kabarmalay3.blogspot.com



KUALA LUMPUR : Yuran taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus berikutan kos penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum tahun depan.
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah, berkata hakikat itu tidak boleh dielakkan berikutan gaji minimum RM1,100 turut membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang perlu ditanggung majikan.
“Kenaikan ini bukan isu besar kerana saya rasa memang wajar, bukan saja kerana penetapan gaji minimum, tetapi pengajar juga perlu memiliki ilmu dengan pelbagai kemahiran termasuk mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) yang turut mengenakan bayaran tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini berhubung yuran TASKA yang dijangka meningkat tahun depan.
Bagaimanapun, katanya kenaikan yuran dan bayaran bulanan TASKA itu dijangka banyak membabitkan TASKA kawasan bandar yang turut berhadapan isu lain termasuk sewa premis dan makanan.
Tinjauan BH di internet mendapati secara purata, yuran bulanan dikenakan bagi jagaan bayi di TASKA swasta di ibu kota ialah antara RM450 hingga RM500 sebulan.
Norsheila berkata walaupun TASKA selalu dikaitkan dengan ‘perniagaan’ kerana ada transaksi bayaran daripada ibu bapa kepada pengusaha, hakikatnya ia menawarkan perkhidmatan yang mana tenaga pengajarnya perlu dikemaskini dengan ilmu berhubung pendidikan awal kanak-kanak.
“Selari dengan hasrat kerajaan mensasarkan tenaga pengajar TASKA perlu memiliki diploma, gaji diberikan kepada pekerja juga seharusnya meningkat, bukan gaji tahap pengasuh semata-mata.
“Kenaikan ini sebenarnya bertepatan dengan modul dan pengisian ditawarkan TASKA. Saya kira ibu bapa sanggup melabur untuk bayi dan kanak-kanak kerana semakin ramai dalam kalangan generasi kini yang tahu mustahaknya pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Pengusaha Taska Rumah Malaysia, Noraini Zainal, TASKA yang menaikkan kos operasi seperti yuran pendaftaran dan bayaran bulanan, seharusnya meningkatkan perkhidmatan dengan menawarkan kegiatan sepanjang berada di TASKA.
Katanya perkhidmatan tambahan merujuk kepada khidmat baharu seperti urutan pada bayi, atau modul pendidikan KAP.
“TASKA tidak seperti perniagaan lain kerana kami terikat dengan Akta Persaingan dan Akta Kanak-kanak. Sebarang yuran dikenakan kepada ibu bapa perlu mematuhi apa yang ditetapkan,” katanya.
Begitupun, katanya lebih 1,200 pengusaha TASKA di bawah persatuan itu belum menyatakan mengenai kenaikan yuran dikenakan kepada ibu bapa, namun mengakui kadar gaji minimum antara beban yang perlu dihadapi pengusaha TASKA.
Bagi Pengasas TASKA Little Imtiaz, Nurul Ain Abdul Aziz, TASKA dikendalikannya mengalami kenaikan antara 10 hingga 25 peratus untuk yuran pendaftaran dan yuran bulanan.
Katanya kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan tenaga pengajarnya mengikuti kursus KAP yang membabitkan kos RM900.
“Kenaikan itu bukanlah membebankan kerana ia hanya membabitkan kira-kira RM10 untuk pendaftaran dan RM50 untuk bayaran bulanan.
“Mereka turut diberikan pengisian dalam bentuk pendidikan, malah setiap kanak-kanak memiliki buku berhubung perkembangan anak mereka,” katanya.
Bagi pengguna, Nur Izzati Mohd Sapperi, 30, beliau mengakui kenaikan yuran dikenakan TASKA membebankan, namun tiada pilihan melainkan menghantar anaknya ke pusat berkenaan sewaktu beliau bekerja.
Bagaimanapun, katanya mutu perkhidmatan TASKA terhadap anaknya menyebabkan beliau rela berkorban dan tutup mata dengan bayaran lebih RM400 sebulan.
“Dalam usaha menangani isu ini, saya menyarankan kerajaan memberikan rebat kepada ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA berdaftar atau mengurangkan cukai yang perlu dibayar ibu bapa seperti kami,” katanya. - BH #CelahGelegar 

Subscribe to receive free email updates: