Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian supaya berhati-hati susulan tindakannya melantik seorang bekas ahli Umno sebagai setiausaha sulitnya.
"Saya telah beritahunya supaya tidak tergesa-gesa, dan dia perlu berhati-hati," kata Muhyiddin sambil menambah bahawa Pakatan Harapan kini di bawah pemerhatianyang rapi.
Muhyiddin berkata beliau telah menasihatkan Osman untuk mengutamakan ahli Pakatan Harapan, termasuk BERSATU dalam pelantikan barisan pegawai.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini. Beliau hadir bagi berkongsi kegembiraan pembebasan Anwar.
Osman dilaporkan melantik bekas presiden majlis daerah Kota Tinggi Fizwan Rashidi sebagai setiausaha sulit berkuatkuasa semalam. Tindakan itu mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai di kalangan penyokong HARAPAN yang mempersoalkan komitmen pentadbirannya kepada integriti.
Muhyiddin turut mengingtkan Osman supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan orang.
“Kita harus mengutamakan parti kita dulu dalam apa sudut baik dari segi kepimpinan, soal membentuk dasar dan soal-soal lain,” katanya.
Muhyiddin berkata Osman boleh menjadi menteri besar yang disegani, dihormati dan mampu memikul tugas dengan baik jika mengamalkan saranannya itu.
“Saya telah buka cadangan kepada Sultan Johor supaya terbentuk sebuah badan pernasihat yang meliputi pelbagai aspek termasuk ekonomi yang boleh bantu pentadbiran negeri,” katanyaA