[JAMAL BUAT VIDEO DI LOKASI RAHSIA] Hanya peguam hadir di IPD Ampang Jaya kabarmalay3.blogspot.com


Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin difahamkan telah berjumpa dengan pihak polis tanpa kehadiran Jamal. -Astro AWANI

AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos gagal menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan susulan isu beliau melarikan diri sebelum ikat jamin selesai.

Bagaimanapun, hanya peguam beliau Datuk Mohd Imran Tamrin yang difahamkan hadir berjumpa pihak polis tanpa kehadiran Jamal.

Dalam pada itu, Mohd Imran menggesa Jamal agar tampil memberi keterangan kepada polis pada kadar segera.

“Saya harap Datuk Seri Jamal dapat menampilkan diri dengan segera dan memberikan kerjasama supaya semua pihak dapat penjelasan sebenar apakah sebenarnya yang berlaku pada hari Jumaat lepas.

"Dan kita juga dapat selesaikan segala tohmahan-tohmahan yang sedang viral dalam kalangan netizen,” katanya ketika ditemui media di luar IPD Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, Jamal masih gagal dihubungi peguamnya.

“Dia maklumkan pada kami, dia akan datang segera, kalau tidak Isnin mungkin Rabu (hari ini). Kali terakhir saya dapat bercakap dengannya adalah beberapa hari lepas.
“Kalau saya tahu Jamal di mana saya sendiri akan ke sana, jadi tidak payahlah kita duduk dalam hujan sebegini,” ujarnya.

Susulan itu katanya, polis ada kuasa untuk menangkap Jamal sekiranya pihak berkuasa dapat menjejakinya.

“Biarlah tubuh badan beliau sendiri yang menceritakan. Biarlah beliau sendiri yang cerita apa yang terbuku di hati.

Ditanya kenapa Jamal menghilangkan diri sebelum ikat jamin beliau sebelum ini selesai, ini jawapannya: “Ikat jamin itu belum sempurna. Ada borang-borang yang belum tandatangan."

Pada 10.45 pagi 25 Mei lalu, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam tahun lepas.

Jamal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di  hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Subscribe to receive free email updates: