KOTA KINABALU: Seorang suspek dipercayai penculik untuk wang tebusan (KFR) ditembak mati pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) awal pagi tadi.
Suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an itu ditembak kira-kira pukul 3 pagi di perairan Lahad Datu.
Difahamkan, suspek menaiki bot pancung dipercayai untuk masuk ke negara ini untuk membuat intipan.
Apabila keadaan terkawal, suspek akan memaklumkan kepada rakan lain dan mereka akan melakukan rompakan di laut atau penculikan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada pukul 2 petang ini.