PPBM berharap barisan kerajaan yang akan diumumkan mengambil kira kehendak dan citarasa serta pilihan rakyat.
SHAH ALAM: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berharap Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan barisan kepimpinan dalam kerajaan untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama, PPBM sepenuhnya menyokong bekas perdana menteri dan pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad, memainkan peranan penting dalam kerajaan PH itu.
“Saya berharap dalam masa yang terdekat ini, setelah selesai semua proses musyawarah, kita akan dapat mengumumkan bakal barisan kepimpinan kerajaan PH, dengan mengambil kira kehendak dan citarasa serta pilihan rakyat.
“Bagi pihak PPBM, saya ingin menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir untuk memainkan peranan utama dalam barisan kepimpinan kerajaan PH nanti,” katanya sewaktu berucap di mesyuarat agung PPBM kali pertama di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.
PPBM percaya gandingan kepimpinan pemimpin PKR, DAP, Amanah dan PPBM dan pengalaman 22 tahun Dr Mahathir menerajui kerajaan akan meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul.
“Kita tidak ragu-ragu bahawa Dr Mahathir, bersama-sama dengan pimpinan PH yang lain, akan meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul dan sekali lagi memimpin negara kita menuju gerbang kegemilangan,” katanya.
Konvensyen hari ini merupakan yang mesyuarat agung pertama PPBM sejak penubuhannya diluluskan pada September 2016. PH sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.