Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Penganalisis politik melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini sedang mengambil kesempatan di atas krisis yang sedang melanda Pakatan Harapan (PH), bersabit jawatan calon Perdana Menteri yang akan diumumkan pada 7 Januari depan.
Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini terjadi ekoran Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai tonggak pemimpin yang boleh disandarkan untuk memegang jawatan itu, jika dibandingkan pengalaman Dr Mahathir yang telah memerintah negara selama 22 tahun.
Apatah lagi semalam, PPBM terus menyatakan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjawat jawatan itu jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kalau kita lihat Bersatu ketika ini mengambil kesempatan terhadap konflik yang berlaku dalam PH, terutama dalam PKR sendiri yang kita tahu Wan Azizah bukanlah seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan sepenuhnya dalam PH.
"Kita tahu juga Anwar pada ketika ini, tidak lagi punya pengaruh yang besar dalam PH. Jadi bagi saya, sebagai seorang PM yang memerintah lebih 22 tahun, maka sebenarnya Tun M mempunyai pengaruh yang besar dalam PH. Jadi sebab itulah Bersatu tidak merasakan dengan meletak Tun M sebagai calon akan mendapat banyak tentangan dikalangan PH," katanya kepada Antarapos.
Semalam pada perhimpunan agung (AGM) PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan keperluan Dr Mahathir diberi mandat penuh menjadi calon Perdana Menteri, berbanding hanya memegang sementara kerusi itu untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz juga menyatakan perkara yang sama, bahawa rakyat mahukan bapanya menjadi perdana menteri berdasarkan pengalaman selama 22 tahun mentadbir negara.
Mengulas lanjut, pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, sehingga kini PH masih belum mencapai kata sepakat berhubung calon perdana menteri mereka kerana masih ada pemimpin yang tak bersetuju dengan cadangan nama Dr Mahathir.
"Kalau kita tengok isu ini ia (sebenarnya) belum selesai, kita lihat PKR sendiri tidak bersetuju dengan peletakan nama Tun sebagai calon PM.
"Kerana mereka pada awal lagi telah mendapatkan persetujuan dikalangan penyokong PH bahawa Anwar adalah merupakan calon tunggal PM jika PH menang. Jadi isu nak meletak nama Tun itu bukan dipersetujui oleh semua gabungan dalam PH," ujar beliau.
Konvensyen PH yang pertama kali diadakan tahun 2018, dikatakan bakal menamatkan tanda tanya berkenaan siapakah calon perdana menteri mewakili gabungan itu memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan pada bila-bila masa.
Nama Dr Mahathir disebut-sebut menjadi calon perdana menteri interim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PH) sekadar dilantik sebagai calon timbalannya.
Cadangan itu dibuat sewaktu permukiman PH selama dua hari di Putrajaya baru-baru ini, namun dikatakan beberapa pemimpin PH tidak merestui cadangan berkenaan.