Walaupun cenderung kepada Umno, beliau tetap akan mengkritik mana-mana ahli politik parti itu, termasuk Najib Razak yang memperkenalkan GST.
PETALING JAYA: Penghibur kontroversi Azwan Ali menegaskan kehadirannya di Perhimpunan Agung Umno lalu tidak memberi makna dirinya sudah menjadi milik parti Melayu itu.
Beliau akui dirinya ketika ini lebih cenderung dan tertarik kepada perjuangan Umno, tetapi sehingga hari ini belum lagi menjadi ahli parti itu.
“Saya belum lagi 100%, silap-silap Umno juga saya tidak daftar. Namun saya akui ke arah Umno, bukannya pembangkang. Jiwa saya ke arah pemimpin yang selamatkan negara.
“Seingat saya, hanya Barisan Nasional (BN) yang boleh selamatkan negara, bukannya seperti parti lain yang menjahanamkan negara,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Azwan bagaimanapun berkata, sokongannya kepada Umno tidak bermakna beliau membuta tuli menyokong tindakan pemimpin parti yang mendominasi gabungan parti pemerintah.
Beliau akan terus mengritik mana-mana ahli politik, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan GST.
“Saya harus nyatakan kepada Najib, memang ia membebankan. GST membebankan rakyat. Kepada Najib, andainya menang besar PRU14 fikir-fikirlah mengenai GST, mana tahu kadar 6% ini dikurangkan.
“Kalau tidak boleh hapuskan 1%, saya berharap terdapat cara lain untuk membantu rakyat, sebabnya ia juga membebankan saya,” katanya.
Azwan, yang suatu ketika dahulu popular sebagai pengacara rancangan hiburan, berkata beliau tidak nampak usaha serius daripada kerajaan untuk menjaga hak anak seni.
Dari segi menjaga kebajikan pengiat seni tanahair, Azwan tidak melihat sebarang perbezaan antara pentadbiran Najib dan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya rasa, maaf cakaplah sama sahaja. Dua kali lima, lima kali dua. Belum ada penonjolan serius untuk menjaga artis-artis.
“Cumanya, Najib sudah buat sesi bersemuka dengan karyawan seni, tetapi saya rasa program itu buang masa.
“Najib ini ingatlah juga golongan artis-artis. Tidak seperti Dr Mahathir, yang asyik bergambar dengan Siti Nurhaliza sahaja,” katanya.
Pembangkang ucap tahniah
Azwan baru-baru ini menjadi perbualan umum selepas mengumumkan akan melawan abangnya sendiri, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
Menurut beliau, tanpa diduga tindakannya turut mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin tertinggi parti pembangkang.
Azmin merupakan timbalan presiden PKR, yang diasaskan oleh penyokong bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azwan bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah ahli-ahli politik itu. “Saya terima banyak ucapan, ‘good job diva’. Pemimpin dalam pembangkang sendiri tidak selesa dengan dia.”
“Biarlah kita disayangi orang sekeliling kita, rakyat yang bodoh ini sahaja yang sokong dia sedangkan dia diperludahkan pemimpin tertinggi sesama dia,” tambahnya.
Azwan menjelaskan penentangan itu tidak bermakna menolak pembangkang secara menyeluruh, tetapi terhadap ahli politik yang tidak berkelayakan.
“Undilah tetapi undilah pemimpin sebenar. Pembangkang ramai pemimpin antaranya Rafizi Ramli,” katanya.
“Wow, saya suka dia, seorang pemimpin yang baik. Kita mahu pemimpin seperti itu. Saya tidak pernah dengar lagi Rafizi bermuka-muka.”