KUANTAN: Polis giat mengesan seorang lelaki berusia awal 30-an yang disyaki menyamar sebagai anggota polis semasa melarikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek yang berkulit sawo matang dan bertubuh kurus itu dipercayai memperdayakan ibu mangsa dengan memaklumkan dia memerlukan pertolongan daripada mangsa.
Katanya, suspek ke rumah mangsa di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub sekitar pukul 11 pagi dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis berpangkat sarjan yang baharu bertukar ke Balai Polis Sungai Ruan.
“Suspek kemudiannya meminta izin mahu membawa mangsa untuk membantu mengambil motosikal yang baharu dibelinya. Ibu mangsa membenarkan dan melihat anaknya menaiki kereta suspek.
Mangsa juga menghubungi ibunya pada pukul 1 tengah hari memaklumkan dia berada di sebuah pasar raya di Raub dan akan pulang tidak lama lagi,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari menambah pada pukul 3 petang, ibu mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon yang mana mangsa memberitahu dirinya di Gua Musang, Kelantan dan berada dalam keadaan selamat dan akan pulang tidak lama lagi.
“Panggilan itu bagaimanapun terputus menyebabkan ibu mangsa cuba menghubungi anaknya beberapa kali namun gagal sebelum dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memintanya untuk tidak berasa risau,” katanya.
Sehubungan itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 4 petang semalam.
Wan Mohd Zahari menambah laporan media sosial yang menyatakan suspek berpakaian seragam polis adalah tidak benar kerana suspek hanya memperkenalkan diri kepada ibu mangsa sebagai anggota polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan individu yang membawa hukuman penjara 7 tahun dan juga boleh didenda serta Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar penjawat awam yang boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. #sumber