KUALA LUMPUR: Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor akan dimansuhkan berkuat kuasa 12 tengah malam ini.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata pengguna plaza tol Sungai Rasau, Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam akan menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsensi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
"Bagi EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor sahaja," demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mematuhi pengurusan kawalan trafik dan papan tanda yang disediakan semasa melalui semua plaza tol terlibat bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.
Pemansuhan kutipan tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.