TEMERLOH: Yayasan Pahang membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion bagi meningkatkan kualiti program pembangunan dan bantuan pendidikan sejak ditubuhkan lebih 30 tahun di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, peruntukan besar itu telah memberikan manfaat kepada lebih 1.35 juta penerima.
Beliau berkata, jumlah penerima itu hampir menyamai jumlah penduduk negeri ini sekali gus membuktikan kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap pembangunan pendidikan.
“Perbelanjaan itu meliputi pemberian biasiswa, dermasiswa, pinjaman dan program-program pendidikan secara berterusan bagi memperkasakan kualiti pendidikan anak Pahang.
“Peruntukan besar dalam pelbagai program yang dirancang membuktikan bahawa kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang menitikberatkan soal pendidikan anak negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Anak Pahang (BAP) 2018 peringkat Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Pengurus Kanan Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Airulamri Amran dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Datuk Mohd. Azlan Yaman.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,600 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari kawasan Parlimen Temerloh menerima sumbangan RM200 seorang yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM320,000.
Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, Yayasan Pahang juga tidak ketinggalan memberikan biasiswa kepada murid dan pelajar yang berkelayakan di negeri ini.
Menurutnya, sejak dilaksanakan pada 2004, seramai 102,000 murid sekolah rendah dan 162,000 pelajar menerima biasiswa berkenaan.
“Kerajaan negeri akan juga terus memberikan bantuan termasuk kewangan kepada pelajar cemerlang yang tidak mendapat pembiayaan bagi meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya. #sumber